Tun Dr Mahathir Mohamad .

KUALA LUMPUR – Demi pertahanan negara, pengurusan lapangan terbang tidak boleh diserah kepada warga negara asing, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jauh sekali oleh syarikat asing yang membantu tentera Israel yang melakukan genosid terhadap orang Palestin di Gaza.

“Tetapi kerajaan kita sanggup menjual pengurusan lapangan terbang di Malaysia kepada syarikat yang menyokong Israel bahkan membekal alatan untuk genosid oleh Israel.

“Syarikat Blackrock adalah syarikat yang kuat membantu tentera Israel dalam kegiatan genosid terhadap orang Palestin di Gaza,” kata bekas Perdana Menteri itu dalam kenyataan.

Menurut Dr Mahathir, sokongan kepada Blackrock sama dengan sokongan kepada Israel dan jenayah yang dilakukan olehnya.

“Sokongan ini bermakna sanggup mendedah rahsia pertahanan Malaysia kepada bukan sahaja syarikat tetapi juga Israel.

“Kita sudah kesan aktiviti warga Israel di Malaysia membunuh orang Palestin. Dengan rahsia negara terdedah kepada Israel, orang Palestin di Malaysia sudah tidak selamat lagi,” ujarnya.

Dr Mahathir juga mempersoalkan sama ada benar Malaysia memihak kepada Palestin atau cuma setakat suara sahaja. – MalaysiaGazette