KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan telah mengeluarkan surat berhubung kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertikaikan tugas dan peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sewaktu baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Ketua penerangannya, Datuk Razali Idris berkata Bersatu tidak mengeluarkan kenyataan seumpama itu dan ia adalah sesuatu yang tidak benar.

“Palsu (surat Bersatu berhubung kenyataan Muhyiddin,” katanya ringkas.

Razali berkata mengulas penyebaran satu surat yang menggunakan kepala surat Bersatu yang didakwa respons parti mengenai kenyataan Muhyiddin.

Kandungan surat tidak bernama itu memohon ampun kepada Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah selepas baginda menzahirkan kemurkaan atas tindakan Muhyiddin.

“Parti PRIBUMI BERSATU MALAYSIA (Bersatu) memohon jutaan keampunan terhadap ucapan Tan Seri Mahyuddin Yassin yang didakwa menyentuh sensitiviti mantan Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah.

“Parti PRIBUMI BERSATU MALAYSIA (Bersatu) merasakan kenyataan Tan Seri Presiden tidak wajar dan memohon maaf kepada YAB Menteri Besar Pahang Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail khasnya dan seluruh rakyat Pahang amnya,” tulis kenyataan tersebut.

Semalam, Tengku Hasanal bertitah, sebagai seorang bekas menteri, kenyataan Muhyiddin memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri ke-10.

“Kenyataan beliau ini juga kelihatan tidak matang, menampakkan seolah-olah beliau masih tidak boleh menerima kenyataan yang beliau tidak dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Kenyataan ini juga adalah sangat bahaya kerana secara terang-terangan menghasut rakyat agar hilang kepercayaan terhadap Institusi Raja-raja Melayu serta memecahbelahkan rakyat,” titahnya menerusi kenyataan yang dikeluarkan Istana Abdulaziz Kuantan, Pahang.

Justeru, Tengku Hasanal mahu pihak polis mengambil tindakan yang tegas tanpa kompromi terhadap Muhyiddin yang secara sengaja menyentuh sentimen kaum, agama dan raja (3R).

“Saya juga ingin menasihatkan kepada semua ahli politik sentiasa berpegang teguh pada prinsip Rukun Negara danterus-menerus menyatupadukan rakyat agar Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang bangsa dapar menjadi sebuah negara maju,” titahnya lagi.

Bagaimanapun, kajianMalaysiaGazette mendapati surat berkenaan mempunyai banyak kesilapan ejaan terutama kepada nama penuh Muhyiddin.

Dalam semua kenyataan rasmi Bersatu sebelum ini, parti itu hanya menggunakan nama Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai nama pemimpin utama Perikatan Nasional (PN) dan bukannya Mahyuddin sebagaimana dalam surat berkenaan. – MalaysiaGazette