KUANTAN – Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah murka dan amat terkilan dengan kenyataan yang dikeluarkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas tanpa kompromi kepada Muhyiddin yang secara sengaja menyentuh sentimen 3R (raja, agama, bangsa).
Titahnya, Muhyiddin sengaja memperlekeh serta mempertikaikan tugas dan peranan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah sewaktu baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong yang ke-16.
Tegas Tengku Hassanal, Pengerusi Perikatan Nasional telah itu memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat untuk menunjukkan Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak adil semasa memilih Perdana Menteri ke-10.
Ahli Parlimen Pagoh itu juga kelihatan tidak matang dan menampakkan seolah-olah beliau masih tidak boleh menerima kenyataan yang beliau tidak dilantik sebagai Perdana Menteri.
“Kenyataan yang dikeluarkan juga adalah sangat bahaya kerana secara terang-terangan menghasut rakyat agar hilang kepercayaan terhadap Institusi Raja-raja Melayu serta memecahbelahkan rakyat.
“Berdasarkan Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri dilantik atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong yang berperanan sebagai Ketua Negara,” titah banginda menerusi kenyataannya tengah malam tadi.
Manakala, Perkara 43(2) pula menetapkan bahawa Perdana Menteri haruslah dilantik dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan tersebut.
Jelas Tengku Hassanal sungguh pun begitu, Al-Sultan Abdullah tidaklah sewenang-wenangnya membuat keputusan untuk melantik Perdana Menteri walaupun perlembagaan memberikan kuasa mutlak kepada baginda.
Titahnya, Al-Sultan Abdullah ketika itu telah memanggil pakar-pakar perlembagaan, penjawat awam utama negara dan yang terakhir turut secara musyawarah mendapatkan pandangan daripada Majlis Raja-Raja sebelum melantik Perdana Menteri yang baharu.
Menurut Tengku Hassanal Parlimen juga telah meluluskan usul undi percaya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Disember 2022.
Sehubungan itu, Tengku Mahkota bertitah keputusan undi percaya tersebut adalah jelas dan selari dengan pertimbangan Yang di-Pertuan Agong ke-16 semasa baginda memilih Datuk Seri Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
“Saya juga ingin menasihatkan kepada semua ahli politik, selaku pemimpin rakyat, mestilah sentiasa berpegang teguh pada Prinsip Rukun Negara dan terus-menerus untuk sentiasa menyatupadukan rakyat agar Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang bangsa dapat menjadi sebuah negara maju, cemerlang ekonomi, alam sekitarnya lestari dan rakyatnya bahagia,” titahnya lagi. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN :
Tolong hormat raja saya – Tunku Azizah
Muhyiddin tak patut heret Al-Sultan Abdullah untuk raih undi – Wan Rosdy
Isu 3R: Tak sepatut keluar dari mulut Muhyiddin – Fakhruddin
Polis terima 28 laporan terhadap Muhyiddin
Isu 3R: Polis panggil Muhyiddin beri keterangan Selasa ini
Campak di kat sg pahang. Buaya tengah lapar. Dia mengata raja kami. Durhaka.