KUALA LUMPUR – Universiti Teknologi MARA (UiTM) sekali lagi mengukir sejarah apabila Bahagian Perkhidmatan dan Pembangunan OKU (U-DServeD) dinobatkan sebagai penerima anugerah Outstanding Services and Support in Higher Education for Persons with Disabilities (PWDs) di Malaysia Education & TVET Awards 2024 (META 2024).

Anugerah berprestij ini dianugerahkan kepada UiTM sebagai pengiktirafan terhadap usaha gigih dan komitmen universiti dalam menyediakan perkhidmatan dan sokongan yang cemerlang kepada pelajar OKU, staf OKU dan staf dengan tanggungan OKU.

Ini merupakan satu pencapaian yang amat bermakna, terutama sekali ketika UiTM sedang meraikan sambutan ke-25 tahun sebagai sebuah universiti.

Penghargaan ini semakin istimewa kerana ia juga bertepatan dengan ulang tahun ke-5 penubuhan Bahagian Perkhidmatan dan Pembangunan OKU UiTM, yang dahulunya dikenali sebagai Unit Perkhidmatan OKU UiTM.

META 2024 diadakan sebagai platform untuk mengiktiraf institusi pendidikan dan
latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) di seluruh negara, khususnya
yang mempamerkan kepimpinan dan pencapaian cemerlang dalam industri.

UiTM melalui U-DServeD telah membuktikan komitmennya dalam mendukung inklusiviti
pendidikan tinggi, sekali gus menjadi contoh teladan dalam menyantuni komuniti
OKU dengan penuh dedikasi dan profesionalisme. – MalaysiaGazette