Dr Massila Kamalrudin menerima Anugerah Universiti TVET Terbaik Malaysia (Kategori Universiti Awam) daripada Ts. Mustapha Sakmud.

KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah memartabatkannya sebagai penerima Anugerah Universiti TVET Terbaik Malaysia (Kategori Universiti Awam).

Anugerah ini telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud kepada Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin di majlis Malaysia Education & TVET Awards (META) 2024 di salah sebuah hotel ternama di Kuala Lumpur, hari ini.

META 2024 adalah pengiktirafan berprestij anjuran Education + TVET Asia Publications bertujuan mengiktiraf kecemerlangan dan sumbangan cemerlang dalam bidang pendidikan dan TVET di seluruh Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

Massila berkata, anugerah ini merupakan satu pengiktirafan yang amat bermakna buat UTeM yang memberikan mesej jelas segenap usaha dan komitmen UTeM dalam pemerkasaan TVET menzahirkan impak berterusan.

Jelasnya, UTeM dan TVET berpisah tiada, justeru kami telah membangunkan Teras Strategik utama UTeM menerusi Pelan Strategik UTeM 2023-2025 dengan fokus utamanya Memperkasa TVET Meluncur Kerjaya seiringan hasrat negara melalui Majlis TVET Negara.

“Kami menggerakkan seluruh jentera meliputi aspek pendidikan, penyelidikan inovasi, pembangunan pelajar, hubungan industri, institusi pendidikan, kerjasama dengan agensi strategik dan pemerkasaan komuniti yang bukan hanya di peringkat nasional, malahan merentas di peringkat antarabangsa bagi mencapai kejayaan TVET secara meluas.

“Hasilnya memberangsangkan bila mana setiap elemen terbabit telah membuahkan impak yang diharapkan antaranya penawaran bidang pengajian kami menepati keperluan dan permintaan semasa industri, bilangan kemasukan pelajar melebihi dari yang disasarkan dan kami telah merangkul Anugerah Universiti Pilihan Majikan pada tahun ini.

Tambahnya, UTeM telah tampilkan formula strategik menerusi TVET Place & Train UTeM@KPT bagi menawarkan 25,000 peluang penempatan pekerjaan bergaji premium buat graduan.

TVET Place & Train UTeM@KPT merupakan formula khas yang dibangunkan UTeM dengan menggerakkan 4 inisiatif kerangka utama yang terdiri daripada JELITA UTeM@KPT, UTeM-Industrial Playground, Industry-MTUN Cyber Security Consortium dan National Industrial Career Expo (NICE@UTeM).

Marsila, usaha bagi meningkatan kebolehpasaran graduan UTeM terutamanya graduan TVET adalah kemestian buat kami hasilnya UTeM mencatatkan kejayaan cemerlang menjadi juara berganda dalam kalangan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) apabila mencapai kadar Kebolehpasaran Graduan (GE) 2023 97.7% dan 76.7% graduan bekerja.

Mengulas lanjut Massila berkata, pemerkasaan TVET dalam kalangan universiti- industri dan pengantarabangsaan adalah elemen berangkai yang perlu direalisasikan secara konsisten.

“Kolaborasi antara UTeM bersama pihak industri dan institusi pendidikan tinggi TVET di serata dunia telah dijayakan menerusi siri-siri jalinan kerjasama strategik seperti di negara Jerman, Perancis, Korea, United Kingdom, Jepun, China, Afrika Selatan, UAE dan lain-lain negara termasuk perkongsian kepakaran demi kelestarian TVET masa kini dan masa hadapan.

“Di samping itu pelbagai penganjuran program dan aktiviti TVET berimpak tinggi telah dilaksanakan UTeM secara meluas meliputi segenap peringkat negeri Melaka, seluruh negara sehinggalah bertaraf dunia.

“Antaranya adalah MTUN Industry-Academia Discource on Advanced TVET (MIAD) 2024, program berimpak antarabangsa yang menghimpunkan kumpulan pakar dalam kalangan pemimpin, penggubal dasar, penyelidik dan pakar industri dunia bagi menerokai pencorakan TVET Termaju kini dan masa hadapan di peringkat global,” katanya.

Dengan penganugerahan di META 2024 ini UTeM telah menerima sebuah trofi dan sijil penganugerahan atas kejayaan yang telah dicapai. – MalaysiaGazette