Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Syarikat Ain Medicare Sdn. Bhd. berjaya menembusi pasaran Taiwan dengan mengeksport produk Sodium Chloride Irrigation dan Sodium Chloride IV Infusion dengan nilai RM 3.10 juta, berikutan krisis bekalan domestik Taiwan bermula bulan Mei tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Ain Medicare, Redziwan Saari berkata, Ain Medicare telah menghantar empat kontena produk Sodium Chloride Irrigation dan Sodium Chloride IV Infusion pada bulan Jun dan dijangka enam lagi kontena akan dihantar pada bulan Ogos 2024.

“Pihak kami sedang dalam perbincangan dan komited untuk meneruskan pembekalan baharu secara berperingkat sehingga akhir tahun 2024.

“Segala urusan perjanjian dan pembekalan dapat dilakukan dengan segera demi memastikan pembekalan stok kepada pesakit-pesakit terbabit dapat diteruskan” menurut beliau.

Ain Medicare Sdn. Bhd. merupakan satu-satunya syarikat tempatan yang mengilang dan mengedarkan produk farmaseutikal seperti larutan intravena, larutan irigasi, larutan hemodialisis dan larutan hemodialisis peritoneal.

Sejak penubuhannya pada tahun 1993, produk-produk Ain Medicare Sdn. Bhd. telah digunakan secara meluas di semua hospital awam, hospital swasta dan pusat-pusat dialisis di seluruh Malaysia.

Dengan kemudahan yang disediakan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Ain Medicare juga telah berjaya menembusi beberapa pasaran luar negara seperti Arab Saudi, United Arab Emirates, New Zealand, Singapura dan beberapa negara di rantau ini.

Pesuruhjaya Perdagangan Matrade Taipei, Aninawati Saleh berkata, sumber statistik Kastam Taiwan menunjukkan bagi tempoh Januari hingga April 2024, Taiwan telah mengimport sejumlah AS$4.8 juta produk perubatan dari Malaysia dengan peningkatan sebanyak 96.9% berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Statistik tersebut menunjukkan keyakinan tinggi pengimport Taiwan terhadap produk perubatan Malaysia,” ujar beliau.

Sehingga kini, Matrade Taipei telah menerima banyak pertanyaan daripada pengimport Taiwan yang berminat untuk mengimport produk berkaitan perubatan dan peranti perubatan dari Malaysia.

Pada tahun 2023, jumlah dagangan Malaysia dalam industri penjagaan kesihatan bernilai AS$11.1 bilion dengan eksport produk penjagaan kesihatan berjumlah AS$6.81 bilion, manakala import berjumlah AS$4.29 bilion.

Prestasi yang mengagumkan ini menggariskan sumbangan penting Malaysia kepada industri penjagaan kesihatan global dan menyerlahkan pertumbuhan teguh serta potensi sektor penjagaan kesihatan di Malaysia.

Menurut Matrade, kerajaan giat mempromosikan Malaysia sebagai hab pembuatan serantau dan komited untuk membangunkan industri penjagaan kesihatan, iaitu penyumbang utama sektor pembuatan, selaras dengan visinya untuk menjadi ekonomi berpendapatan tinggi yang dipacu oleh inovasi, kreativiti dan aktiviti bernilai tinggi. – MalaysiaGazette