Ahli Armada Bersatu Malaysia, Akmal Zahin Zainal Zahir bercakap mengenai laporan polis berkaitan satu video yang dimuatnaik ke platform sosial media Youtube oleh pemegang akaun yang bernama “Suara Keadilan” didakwa telah menjejaskan/fitnah terhadap Muhyiddin di Balai polis IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 20 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Armada Bersatu Malaysia hari ini membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Youtube atas nama Suara Keadilan kerana memuat naik rakaman video yang menjejaskan nama baik Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahli Armada Bersatu, Akmal Zahin Zainal Zahir mendakwa, keratan video ucapan presiden Bersatu itu yang disiarkan di platform media sosial itu disunting dan diambil di luar konteks.

“Saya menyatakan bahawa keratan ucapan yang digunakan dalam video tersebut bukanlah ucapan penuh yang diberikan oleh TSMY dan telah diambil di luar konteks.

“Kesan penyataan dan atau perkataan yang digunakan sebagai tajuk dalam video tersebut yang diterbitkan bersama-sama keratan ucapan TSMY serta gambar Al-Sultan Abdullah adalah direka untuk menimbulkan tanggapan palsu, tidak benar dan bertujuan untuk menghasut serta mengapi-apikan keadaan.

“Ia bertentangan dengan penyataan dan kandungan yang diterbitkan dalam video tersebut,” katanya pada sidang media selepas membaut laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Dang Wangi, di sini, hari ini.

Ahli Armada Bersatu Malaysia, Akmal Zahin Zainal Zahir dan ahli parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menunjukkan laporan polis telah dibuat berkaitan satu video yang dimuatnaik ke platform sosial media Youtube oleh pemegang akaun yang bernama “Suara Keadilan” didakwa telah menjejaskan/fitnah terhadap Muhyiddin di Balai polis IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 20 OGOS 2024.

Ahad lalu, media melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, memaklumkan Muhyiddin akan dipanggil memberi keterangan pada Selasa, berhubung ucapan beliau didakwa menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja) ketika berkempen bagi PRK DUN Nenggiri, baru-baru ini.

Razarudin berkata, setakat Ahad, polis menerima 29 laporan daripada pelbagai pihak berhubung perkara itu.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai ucapan bekas Perdana Menteri itu yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Menurut Akmal Zahin, kandungan dan tajuk video tersebut telah dirangka, disunting dan diterbitkan dengan niat untuk ditularkan di platform sosial media .

“Tindakan itu bertujuan menjejaskan masyarakat umum agar mereka mempunyai tanggapan salah bahawa TSMY telah menentang Al-Sultan Abdullah, akibatnya pelbagai laporan telah dibuat terhadap TSMY.

“Saya percaya video ini telah disunting secara sengaja untuk tujuan memanipulasi atau memainkan naratif politik,” katanya.

Katanya lagi, Armada Malaysia berharap pihak berkuasa dapat melakukan siasatan terhadap pelaku sekaligus mengambil tindakan terhadap individu-individu yang menerbitkan dan memuat naik video tersebut.

“Saya percaya mereka telah melakukan beberapa kesalahan termasuk di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan, Sekysen 499 Kanun Keseksaan, Seksyen 4 Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

“Saya membuat laporan ini bagi pihak polis memulakan siasatan perbuatan menyunting video ucapan tersebut hingga memberi gambaran salah serta menyemai bibit-bibit kebencian dalam kalangan rakyat, pemimpin politik serta Institusi Raja-Raja,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast