Oplus_0

KUALA LUMPUR – Gabungan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang SeMalaysia (GTSM) mengecam tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengundang kemurkaan Istana Pahang susulan ucapannya ketika berkempen dalam PRK DUN Nenggiri, baru-baru ini.

Yang Dipertuanya, Kamarudin Mohd Hussain menyifatkan ucapan bekas Perdana Menteri itu tidak bertanggungjawab dan cuba memfitnah Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Kami mendapati kenyataan yang dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin dalam ceramah beliau di PRK DUN Nenggiri sangat berbahaya.

“Kenyataan beliau sangat jelas mempunyai unsur-unsur menghasut dan fitnah.

“Ia mampu menghilangkan kepercayaan rakyat kepada institusi Raja-Raja Melayu serta berupaya memecahbelahkan kesepaduan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu beliau membuat laporan terhadap bekas Perdana Menteri kesembilan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai ucapan bekas Perdana Menteri itu yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah, ketika baginda menjadi YDPA ke-16.

Ucapan Muhyiddin itu antara lain menyentuh pelantikan Perdana Menteri ke-10 selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022.

Kamarudin juga berkata, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas ke atas bekas Perdana Menteri itu didakwa berterusan menghasut rakyat dengan menggunakan isu 3R (kaum, agama, raja).

“Kami tidak faham kenapa beliau masih cuba menghasut rakyat supaya hilang kepercayaan terhadap institusi Raja-Raja Melayu, sedangkan beliau sendiri berada di dalam kerajaan sewaktu akta anti lompat parti itu diwujudkan.

“Perbuatan tidak bertanggungjawab beliau perlu diambil tindakan, jika tidak rakyat khususnya pihak pembangkang akan semakin berani mainkan isu 3R.

“Ia sekaligus akan menyebabkan rakyat tidak lagi menghormati Institusi Raja-Raja Melayu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette