KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) masih memperhalusi pencen penjawat awam termasuk kontrak untuk mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Perkeja (KWSP).
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan membayangkan beberapa kepastian mengenai isu pencen itu akan diketahui hujung tahun ini.
“Saya fikir awal tahun ini kita umum semua penjawat awam yang baru termasuk yang secara kontrak akan mencarum dalam KWSP.
“Ini masih diperhalusi oleh JPA, Insya-Allah sebelum hujung tahun ini harapanya akan beberapa kepastian ke atas apa yang akan dibuat.
“Tapi saya fikir langkah baik oleh kerajaan bukan sahaja dari segi fiskal tetapi juga memberi pilihan kepada penjawat awam dan kerana kalau dia berkhidmat dengan kerajaan dia masih mendapat pulangan lebih kurang sama dari segi faedah dia tidak kurang seperti apa yang ada sekarang.
“Tetapi sekiranya mereka ingin berpindah ke tempat lain caruman akan mengikut dia. Kita tunggu setelah diperhalusi oleh JPA dan dipersetujui,” katanya pada Majlis Pelancaran National Fraud Portal di Sasana Kijang, di sini, hari ini.
Turut hadir, Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour.
Semalam, JPA menafikan satu mesej tular yang mendakwa penjawat awam tidak lagi diberi pencen bermula tahun ini.
JPA juga menafikan dakwaan pencen penjawat awam telah ditukar kepada caruman KWSP dan ahli politik tidak lagi menerima lebih daripada satu pencen.
“Jangan percaya dengan informasi tular daripada Whatsapp mahupun Telegram dan sebagainya.
“Sentiasa rujuk dengan JPA bagi perkara yang melibatkan pekeliling dan dasar,” menurut JPA di X. – MalaysiaGazette