Lukanisman (tiga dari kanan) merasmikan Persidangan Saintifik Kesihatan Sempadan Malaysia-Thailand ke-34 yang berlangsung di Pulau Pinang hari ini.

BATU FERRINGHI – Memperkukuhkan kolaborasi antara Malaysia dan Thailand terutama di sempadan negara agar pengurusan isu kesihatan lebih berkesan menjadi objektif utama Persidangan Saintifik Kesihatan Sempadan Malaysia-Thailand ke-34 yang berlangsung di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, persidangan ini berfungsi sebagai platform penting bagi kedua-dua negara untuk melakukan perbincangan dan merancang usaha sama dalam mengatasi cabaran berkaitan isu kesihatan sempadan.

Jelasnya, persidangan ini juga akan membincangkan pengawalan dan pemantauan produk berkaitan,  kesiapsiagaan respons kecemasan serta kerjasama dalam penyelidikan.

“Antara isu lain yang dibincangkan menerusi persidangan ini adalah meningkatkan kerjasama kesihatan rentas sempadan, pemantauan dan kawalan penyakit.

Lukanisman.

“Selain itu, akses kepada penjagaan kesihatan dan pemindahan pesakit, pertukaran maklumat serta menangani cabaran kesihatan awam turut dibincangkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan persidangan tersebut hari ini.

Hadir sama, Penyelia Kesihatan Wilayah 12, Kementerian Kesihatan Awam Thailand, Dr. Sombat Phadungvitvatthana.

Tambah Lukanisman, pihaknya berharap daripada persidangan ini dapat mengukuhkan lagi kerjasama antara kedua negara bukan saja dalam sektor kesihatan tetapi sektor-sektor lain termasuk ekonomi, pendidikan dan sosial.

Persidangan Saintifik Kesihatan Sempadan Malaysia-Thailand ke-34 merupakan acara tahunan yang dianjurkan secara bergilir oleh Malaysia dan Thailand.

Persidangan kali ini membabitkan 240 delegasi yang terdiri daripada pegawai kesihatan dari Kedah, Perak, Kelantan serta Perlis manakala bagi Thailand pula dari Songkhla, Yala, Satun dan Narathiwat. – MalaysiaGazette