Dari kiri, Profesor Dato’ Dr. Mazliham Mohd Su’ud (Presiden MMU), Dian Siswarini (CEO XL Axiata), Tan Sri Mohamad Salim bin Fateh Din (Pengerusi MCMC), Dr. Ismail M.T (Ketua Pengarah Pengurusan Sumber dan Peralatan Pos dan Informatika, Kementerian Komunikasi dan Teknologi Informasi, Indonesia), Julian Gorman (Ketua Asia Pasifik, GSMA), dan Dr. Ir. Rina Pudji Astuti (Timbalan Rektor Universitas.

JAKARTA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Universiti Multimedia (MMU) dan Persatuan GSM (GSMA) menganjurkan Master Class CTPR ke-8 untuk pakar-pakar telekomunikasi di rantau ASEAN dan Asia Pasifik di Jakarta, Indonesia.

Master Class berkenaan menghimpunkan pengawal selia, eksekutif telekomunikasi dan penggubal dasar bagi memastikan terus golongan terlibat terus kekal di barisan hadapan dalam industri telekomunikasi yang berkembang pesat.

Menurut Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din, Master Class CTPR memberikan peluang kepada peserta  meneroka perspektif global mengenai isu dasar dan peraturan telekomunikasi.

“Dalam pelaksanaan edisi kelapan Kelas Master CTPR, MCMC berbangga untuk meneruskan kerjasama dengan MMU dan GSMA. Komitmen kami untuk memajukan inovasi dan kerjasama dalam industri kekal teguh, dan kami amat menantikan kemajuan transformatif yang akan dihasilkan daripada perbincangan tahun ini,” katanya dalam kenyataan media di sini semalam.

Program yang dianjurkan pada 12 hingga 16 Ogos itu adalah dengan kerjasama XL Axiata dan Universiti Telkom Indonesia.

Presiden MMU, Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd Su’ud pula berkata, telekomunikasi merupakan sebuah bidang yang mempunyai kesan global yang besar danmemerlukan kemahiran dan pengetahuan pelbagai melangkaui pendidikan di bilik kuliah.

Barisan tetamu kehormat bersama para peserta Master Class CTPR 2024 ceria menunjukkan isyarat bagus selepas majlis pelancaran di Jakarta, Indonesia.

“Master Class ini menyediakan platform penting bagi profesional industri untuk berkongsi pandangan, belajar dan terlibat untuk memperoleh pengalaman berharga dalam landskap telekomunikasi yang berkembang pesat,” jelasnya.

Sejak dimulakan penganjurannya pada tahun 2015, Master Class CTPR mencakupi pelbagai modul termasuk perspektif baru dalam dasar dan peraturan, pengurusan spektrum, tadbir urus internet, keselamatan rangkaian dan forensik, hak harta intelek, strategi perniagaan untuk industri telekomunikomunikasi, AI, analitik data besar, arah baru dalam perkhidmatan digital dan industri kandungan kreatif.

Modul-modul dibimbing oleh pakar industri tempatan dan antarabangsa serta pakar subjek dari MMU, MCMC dan GSMA.

Edisi Master Class CTPR tahun ini mendapat sokongan padu daripada Kementerian Komunikasi dan Informatika Indonesia (Kominfo) bagi memastikan kelancaran pelaksanaan program.

Fokus tahun ini adalah pada lima modul utama iaitu Dasar & Peraturan; Pengurusan Spektrum; Teknologi Muncul dan Keselamatan Rangkaian; Perniagaan Digital Disruptif dan Ekonomi; serta Alam Sekitar, Masyarakat, dan Tadbir Urus.

Sementara itu Ketua Asia Pasifik, GSMA, Julian Gorman berkata, di rantau Asia-Pasifik terdapat keperluan mendesak untuk dasar dan peraturan yang selaras dengan amalan terbaik global untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan dan inovasi yang pesat.

“Program Master Class ini mengukuhkan nilai apabila sektor awam dan swasta bekerjasama dengan akademia untuk membangunkan latihan yang benar-benar memenuhi keperluan ahli pengawalseliaan profesional yang bekerja dalam sektor telekomunikasi.

“Para profesional ini akan memainkan peranan penting dalam membina negara digital yang mampan dan inklusif di seluruh rantau ini.”

Master Class merupakan program penting dalam membentuk masa depan sektor telekomunikasi dan menjadi platform utama untuk memacu pertumbuhan industri, memperbaiki amalan regulatori dan membina masa depan yang mampan.

Para peserta program berada dalam posisi untuk memimpin inovasi dan mengharungi sebarang cabaran dalam sektor yang berkembang pesat ini.

Program ini bukan sahaja mengeratkan semangat kerjasama yang diperlukan untuk kemajuan, tetapi juga menyediakan asas untuk kemajuan transformatif yang akan memacu masa depan bidang telekomunikasi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast