Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin.

KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 yang akan bermula esok bukan sekadar perhimpunan tahunan sebaliknya membawa makna tersendiri kepada parti itu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, selain diadakan pada bulan kemerdekaan, PAU 2024 lebih manis kerana bakal berlangsung dalam suasana Barisan Nasional baru memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada Sabtu lalu.

“Sudah pasti kemenangan yang disambut dengan penuh keinsafan dan tawaduk itu akan mengiringi perhimpunan agung parti pada tahun ini.

“Saya mengajak semua ahli UMNO untuk sama-sama kuatkan tali salitaruhim dengan terus muafakat antara satu sama lain,” katanya dalam satu kenyataan memetik laporan UMNO Online hari ini.

PAU 2024 akan diadakan selama empat hari bermula esok hingga 24 Ogos depan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Menurut Mohd. Sharkar, PAU kali ini sememangnya menjadi tumpuan bukan sahaja dalam kalangan ahli akar umbi parti itu malah seluruh rakyat khususnya orang Melayu.

Katanya, ia menjadi medan kepada perbincangan serta lontaran idea oleh perwakilan bukan sahaja mengenai kekuatan dan masa depan UMNO malah lebih utama berkenaan perkara yang melibatkan kepentingan rakyat.

“Inilah mengapa Perhimpunan Agung UMNO menjadi tumpuan dan insya-Allah segala agenda orang Melayu, umat Islam serta rakyat seluruhnya akan menjadi topik kepada apa yang dibincangkan nanti.

“Kepada seluruh perwakilan selamat datang dan sama-sama kita raikan perayaan tahunan UMNO ini. Semoga kita dapat harungi perjuangan parti bersama,” katanya. – MalaysiaGazette