SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor hari ini menahan reman seorang pegawai kanan sebuah agensi berkaitan kerajaan disyaki membuat tuntutan mengandungi butiran mantan palsu berjumlah kira-kira RM15,000.
Perintah reman selama lima hari sehingga 24 Ogos ini terhadap suspek dikeluarkan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret 2 di sini, pagi tadi.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia sekitar 40-an ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Selangor, kira-kira jam 3 petang semalam.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut sekitar 2022 hingga 2023.
“Suspek dipercayai mengemukakan sebut harga, nota penghantaran, invois dan resit bayaran tunai dari sebuah syarikat, sedangkan pembekalan dan perolehan tidak pernah dilaksanakan syarikat terbabit,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette