Penjawat awam pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam kali ke 19 (MAPPA XIX) 2024 di PICC, Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 16 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Tindakan mengukur gaji minimum sektor swasta berdasarkan gaji paling kurang sektor awam yang dinaikkan kepada RM2,000 adalah tidak adil dan mengelirukan.

Presiden Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai berkata, ukuran tersedut adalah tidak wajar dilakukan.

Beliau memberitahu China Press, walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah berkata pada Mei bahawa pendapatan kumulatif penjawat awam harus mencapai RM2,000, tetapi ia termasuk elaun tetap dan bukan semua penjawat awam akan menikmatinya.

Katanya, undang-undang gaji minimum untuk sektor swasta pula mengkehendaki perhitungan berdasarkan gaji pokok yang tidak termasuk elaun dan faedah lain.

“Keadaan ini menunjukkan pertimbangan berlainan antara sektor awam dan swasta dari segi struktur gaji.

“Oleh itu, semasa membincangkan polisi gaji, pertimbangan harus diberikan kepada piawaian yang berlainan,” katanya.

Pada 1 Mei lalu, Anwar berkata, pendapatan minimum penjawat awam merangkumi gaji dan elaun tetap perlu melebihi RM2,000 sebulan.

Perdana Menteri mengakui jumlah pendapatan menyeluruh paling minimum yang diterima sebelum ini iaitu RM1,765 adalah tidak munasabah.

Anwar pada Jumaat lalu mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional.

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi.

Dalam pada itu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, syor mengenai kadar gaji minimum yang baharu dijangka dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet pada September.

Susulan daripada kenaikan gaji yang diumumkan Anwar, Ahli Parlimen Bagan yang juga Pengerusi DAP, Lim Guan Eng percaya langkah itu akan meningkatkan prestasi penjawat awam dan memperbaiki daya saing negara di peringkat global.

Katanya dipetik Kwong Wah Yit Poh, kedudukan Malaysia dalam Ranking Daya Saing Global yang dikeluarkan Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) telah jatuh daripada tangga ke-27 kepada ke-34.