Tiga lelaki termasuk dua guru besar direman kemuka tuntutan palsu RM500,000.

KUALA LUMPUR – Tiga lelaki termasuk dua guru besar sekolah rendah di Sarawak direman hari ini kerana disyaki membuat tuntutan mengandungi butiran mantan palsu bernilai kira-kira RM500,000.

Perintah reman terhadap dua suspek berusia lingkungan 50-an hingga 60-an dikeluarkan lima hari hingga 25 Ogos manakala seorang lagi suspek berumur 50-an dikenakan reman empat hari sehingga 24 Ogos.

Terdahulu, Majistret Ong Kork Chern mengeluarkan arahan itu selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak di  Mahkamah Sibu, pagi tadi.

Menurut sumber, kesemua suspek ditahan kira-kira jam 10 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sibu.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2022.

“Kesemua suspek dipercayai mengemukakan tuntutan palsu untuk kerja-kerja penyelenggaraan sistem telaga tiub di empat buat sekolah sekitar negeri ini kepada pejabat pendidikan daerah (PPD).

“Bagaimanapun, kerja-kerja penyelenggaraan tersebut tidak dilaksanakan kerana sistem telaga itu telah rosak sejak tahun 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sarawak, Hasbilah Mohamad Salleh ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast