Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad disifatkan sebagai ‘hero yang ditendang’ oleh Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Beliau mendakwa Dr Mahathir ‘ditendang’ oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin.

Gelaran tersebut diberikan oleh  Nur Jazlan selepas Dr. Mahathir mendakwa Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bukan wira yang menjatuhkan beliau sebagai Perdana Menteri.

Nur Jazlan berkata, Dr. Mahathir tidak berjaya untuk mengugut Ahmad Zahid supaya membubarkan UMNO selepas parti itu tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

“Mahathir ingatkan Zahid macam budak hingusan yang boleh digertak dengan mudah. Walaupun Mahathir gunakan kuasa dia untuk tuduh Zahid, nak malukan Zahid, jatuhkan kredibilit Zahid tapi dia lupa Zahid sebenarnya seorang politician yang penuh dengan seni politik.

“Dalam keadaan Mahathir nak kuburkan UMNO, Zahid terus atur langkah bersama dengan ‘anak didik’ Mahathir sendiri, Muhyiddin yang juga terkenal dengan sikap pengkhianat untuk jatuhkan Mahathir.

“Apatah lagi bila Muhyiddin sendiri nampak sangat kemaruk nak jadi PM gantikan Mahathir maka ia memudahkan kerja Zahid dan orang lain.

“Zahid buat semua itu bukan sebab dia nak jadi PM tapi sebab nak selamatkan UMNO daripada jadi mangsa dendam Mahathir,” jelas Nur Jazlan.

Beliau mendakwa, untuk melawan Dr. Mahathir memerlukan keberanian luar biasa dan pihak tersebut perlu bersedia untuk berdepan dengan apa-apa serang balas daripada bekas Perdana Menteri itu.

Nur Jazlan mendakwa, sejak dari dulu Dr. Mahathir mempunyai sikap bahawa pihak lain perlu mematuhi segala arahan yang keluar daripada beliau atau berisiko disingkirkan.

“Macam nasib yang menimpa arwah bapa saya, Tok Mat Rahmat. Beliau sangka apabila digugurkan dari jawatan menteri Kabinet pada 1999, Mahathir akan beri beliau sebarang jawatan lain.

“Malangnya, beliau tak dapat apa-apa dan lebih teruk lagi beliau digugurkan jawatan sebagai Setiausaha Agong UMNO kerana dituduh memihak kepada Datuk Seri Anwar (Ibrahim) dalam pemilihan UMNO 1996. Macam tu saja Mahathir buang orang yang banyak berjasa kepada parti dan dia.

“Malah Mahathir langsung tak hargai usaha Tok Mat Rahmat melalui Program Semarak dan penubuhan UMNO Sabah untuk menghidupkan semula Mahathir sudah menjadi ‘bangkai’ di mata orang Melayu apabila UMNO diharamkan pada tahun 1988,” katanya.

Sebelum ini MalaysiaGazette melaporkan, Dr. Mahathir menasihatkan Ahmad Zahid tidak perlu mendabik dada mendakwa dirinya hero atau wira menjatuhkan dirinya dan sekali gus menyelamat UMNO.

Dr. Mahathir berkata, beliau tidak tidak boleh dijatuhkan oleh Ahmad Zahid atau UMNO kerana parti itu kalah dalam pilihan raya umum.

Ahmad Zahid sebelum ini mengakui menjadi dalang dalam menjatuhkan Dr. Mahathir sebagai perdana menteri selepas PRU-14.- MalaysiaGazette