KUALA LUMPUR – Mohamad Armin Zahryl Abdul Latif bukan sahaja membutirkan satu lagi pingat emas buat kontinjen Terengganu dalam acara 110 meter berpagar lelaki di Sukan Malaysia (Sukma) 2024 semalam.

Namun kemenangan tersebut cukup memberikan seribu satu makna yang mendalam buat diriinya yang bergelut dengan pelbagai cabaran dalam kehidupan sebelum kejohanan.

Mengakui datang dari keluarga susah dan tinggal dengan ibu selepas bercerai dengan bapanya, Armin bekerja mencari wang sebelum menjalani latihan.

“Saya orang susah, mak ayah bercerai. Saya hendak bantu mak saya,” katanya yang menangis selepas memenangi acara itu.

Kisah Armin itu turut dikongsikan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Wan Sukairi  Wan Abdullah di Facebook milliknya.

Katanya, antara momen yang cukup menarik perhatian dan menyentuh hatinya selepas Armin berlari mendapat jurulatihnya yang dianggap bapa sendiri sebaik memenangi pingat emas.

“Sejurus sahaja tamat dan diumumkan sebagai pemenang pingat emas 110 meter petang ini, saudara Armin Zahryl Abd Latif terus meluru berjumpa dengan jurulatihnya, Encik Zainuddin Yusof dengan linangan air mata serta penuh kesyukuran.

“Saudara Armin terlalu rapat dan akrab dengan jurulatihnya ini, umpama seorang bapa yang mendidik anaknya. Tidak hairanlah, kemesraan mereka tergambar begitu erat. Biarlah gambar berbicara.

“Usai saya bertemu bersama saudara Armin, saya diberitahu bahawa beliau diminta untuk menunaikan nazar jurulatihnya itu untuk memotong rambut.

“Kata jurulatihnya, beliau telah bernazar dari awal lagi dan menyatakan janjinya jika saudara Armin dapat merangkul pingat emas, maka beliau akan memotong rambut.

“Ditanya kenapa bernazar sedemikian, katanya, ‘Saya ingin menaikan semangat diri saya sendiri untuk melatih Armin supaya beliau bersungguh-sungguh berlatih’.

“Sekaligus bila dia tengok jurulatih sanggup untuk potong rambut demi dapatkan pingat emas, maka saya harap beliau juga akan termotivasi.

“Alhamdulillah, akhirnya impian dan harapan telah tercapai pada hari ini. Tahniah buat saudara Armin Zahryl dan jurulatihnya, Encik Zainuddin Yusof,” tulisnya yang mendapat lebih 6,000 tanda suka di media sosial.

Sementara itu, Armin, 19, melakukan catatan 14.26 saat selaku juara diikuti oleh atlet Wilayah Persekutuan, Muhammad Fiross Mohd Faizal di tempat kedua dan Muhammad Hazriq Cik Mat Kilau di tempat ketiga.

Lebih mengejutkan ramai pihak ini merupakan penampilan pertamannya di temasya dwi tahunan ini. – MalaysiaGazette