Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan hadir pada Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno Malaysia 2024 sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 21 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Landskap politik khususnya masyarakat Melayu didapati telah berubah dengan kemunculan fahaman ‘politik toksik’.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Hasan berkata fahaman politik negatif itu mula menular pada skala yang sangat luar biasa.

“Ia dimanifestasikan dengan segala bentuk fitnah, kebencian dan kata nista yang keterlaluan.

“Dalam pilihan raya umum yang lepas, kita menyaksikan kemunculan ‘political hate speech’ yang sangat ‘unprecedented’.

“Media sosial telah menjadi arena kepada revolusi yang mengetengahkan ‘politik toksik’, kebencian dan nista ini,” katanya dalam ucapan perasmian ketiga-tiga sayap pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU2024) di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), malam tadi.

Kemunculan fahaman politik toksik itu jelas Mohamad telah ‘membunuh’ prinsip politik matang, sopan, bernas dan bersandarkan idea terbaik.

Katanya lagi, kemunculan fahaman politik itu telah memusnahkan nilai dasar yang mendorong kita berpolitik dan kenapa kita mendukung idealisme pergerakan politik.

“Kita mesti memerangi politik nista dan toksik ini. Orang Melayu mesti disedarkan, bahawa politik kebencian dan toksik yang melampau ini, akan menjadikan kita anti akal, anti kebenaran, dan anti segala-galanya.

“Ia tidak akan menguntungkan sesiapa. Ia akan menambah perpecahan di kalangan orang Melayu. Ia akan mencederakan budaya dan adab politik Melayu dengan kecederaan yang dahsyat,” katanya lagi.

Malah jelas beliau lagi, fahaman seumpama ini boleh menjatuhkan standard dan etika politik bangsa Melayu, ke tahap paling rendah.

Justeru itu, Mohamad berkata masa depan UMNO sangat bergantung kepada keberkesanan kita untuk memerangi ‘politik toksik ini’.

“Ingat, segala ucapan kebencian, merendah-rendahkan martabat orang, menggelar dengan pelbagai gelaran yang tidak elok, bukan cerminan sebenar peribadi dan akhlak kita.

“Janganlah hanya kerana nila setitik, ia menjadi gambaran pemikiran UMNO keseluruhan nya.

 “Kepada semua Wanita, Pemuda, dan Puteri. Jadilah anda sebagai semua mereka yang membawa kesejukan dan redup mata kepada bangsa dan negara,” jelas Mohamad lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast