Dua lelaki tempatan diberkas bantu siasatan pukul dan samun lelaki Pakistan di Teluk Bahang, Pulau Pinang hari ini.

BALIK PULAU – Polis menahan dua lelaki tempatan yang disyaki memukul serta menyamun seorang lelaki warga Pakistan di hadapan pasar Teluk Bahang dekat sini, hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 pagi ketika mangsa menaiki pacuan empat roda milik syarikat dan dalam perjalanan ke rumahnya.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, mangsa ditahan dua suspek yang menunggang sebuah motosikal sebelum meminta dia menunjukkan lesen.

Katanya, mangsa yang enggan mengikut arahan itu dipukul hingga mendatangkan kecederaan sebelum kedua-dua suspek berkenaan bertindak melarikan barang berharga miliknya termasuk telefon bimbit serta wang tunai.

Barang hasil samun yang dirampas dalam milikan kedua-dua suspek.

“Bertindak atas laporan mangsa, pihak polis melakukan tangkapan ke atas dua suspek berusia 34 dan 35 tahun di dua lokasi berasingan iaitu Solok Nelayan, di sini, serta Jalan Bangsal Rawai, Teluk Bahang.

“Turut dirampas dalam milikan mereka dua telefon bimbit, beg silang, wang tunai yang dipercayai hasil kegiatan samun mangsa.

“Hasil semakan lanjut juga mendapati suspek berusia 35 tahun itu mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah beliau, kedua-dua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette