KUALA LUMPUR – Selepas setahun tiada penganjuran, Festival Filem Malaysia (FFM) edisi ke-33 akan diadakan di Auditorium Seri Angkasa, Kota Media, Angkasapuri pada 7 Disember ini.

Acara berprestij dunia perfileman negara itu akan menyaksikan lebih 100 filem yang diterbitkan dari 1 Oktober 2022 hingga 30 Jun 2024 untuk dipertandingkan.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, penyertaan untuk edisi kali ini dibuka bermula semalam hingga 6 September depan.

“FFM33 bertujuan untuk menghargai karya seni dan kreativiti industri perfileman negara dan mengukuhkan peranan industri filem dalam pembangunan sosioekonomi Malaysia.

“Lebih 100 filem dijangka akan bertanding di FFM kali ini. Prestasi kutipan pecah panggung filem tempatan juga menunjukkan perkembangan positif apabila 56 filem tempatan berjaya mencatatkan kutipan pecah panggung keseluruhan sebanyak RM98.8 juta tahun lalu.

“Menariknya, pada 2024 (hingga Mei) kutipan pecah panggung mencecah RM87 juta daripada 26 filem, yang hampir menyamai jumlah keseluruhan tahun sebelumnya,” katanya majlis pelancaran FFM33 semalam.

Nie Ching menambah, FFM perlu diangkat sebagai satu acara berprestij setanding festival filem peringkat antarabangsa.

“Festival filem bukan sahaja menjadi platform untuk meraikan sinema tetapi juga sebagai medan utama dalam mempromosikan industri perfileman dan menarik pelaburan yang lebih besar ke dalam sektor kreatif negara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, acara berkenaan mempertandingkan 30 kategori anugerah dan turut mengembalikan semula kategori Anugerah Filem Dokumentari Terbaik.

“Kategori Anugerah Dokumentari Terbaik akan dipertandingkan semula, ini adalah langkah kerajaan bagi menghargai dan memartabatkan pelbagai genre dan bentuk karya dalam industri perfileman dan memperkayakan spektrum sinema Malaysia.

“FFM tahun ini bertema Emas yang singkatan bagi Evolusi Sinema Malaysia. Tema ini dipilih bagi melambangkan sesuatu yang bernilai tinggi. Di bawah tema ini, kita tidak hanya meraikan karya seni yang cemerlang, tetapi mendorong penggiat seni untuk terus menghasilkan filem yang mempunyai nilai komersial dan artistik yang unggul,” katanya.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia turut memberi sokongan melalui insentif potongan cukai ke atas penajaan terkumpul FFM33 sehingga RM5 juta kepada penaja yang berminat menaja dan menyumbang dalam edisi festival kali ini.

Untuk info, pemenang kategori utama iaitu Filem Terbaik juga akan menerima geran Dana Kandungan Digital (DKD) berjumlah RM500,000. – MalaysiaGazette