KUALA LMUR – Industri pembuatan beroperasi pada kapasiti penggunaan 82.1 peratus pada suku kedua 2024, meningkat 3.8 mata peratus berbanding suku sama pada tahun sebelumnya (ST2 2023: 78.3%).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, semua subsektor mencatatkan kapasiti penggunaan melebihi 80 peratus, dengan subsektor kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain merekodkan kadar tertinggi pada 86 peratus diikuti produk tekstil, pakaian, kulit dan kasut (82.8%); dan produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (82.3%).

Berbanding suku tahun sebelumnya, kapasiti penggunaan industri pembuatan meningkat 1.3 mata peratus (ST1 2024: 80.8%).

Kadar kapasiti penggunaan yang lebih tinggi turut digambarkan dalam peningkatan Indeks Pengeluaran Perindustrian bagi industri pembuatan sebanyak 4.9 peratus berbanding setahun lalu.

Peningkatan tahun ke tahun dalam kapasiti penggunaan direkodkan sepanjang suku kedua 2024, yang mana April (80.3%; +3.8 mata peratus), Mei (82.7%; +3.5 mata peratus) dan Jun (83.2%; +4.0 mata peratus) dengan bulan Mei dan Jun mencatatkan kadar tertinggi sejak Januari 2023.

Tambahan lagi, faktor-faktor seperti permintaan yang rendah; bekalan bahan yang tidak mencukupi; dan pembaikan & penyelenggaraan mesin & kelengkapan kekal sebagai penyebab utama kepada kapasiti penggunaan tidak penuh dalam industri pembuatan.

Kapasiti penggunaan bagi industri berorientasikan eksport meningkat sebanyak 3.9 mata peratus kepada 81.3 peratus (ST2 2023: 77.4%).

Pembuatan jentera dan peralatan t.t.t.l. mencatatkan kadar tertinggi iaitu pada 88.5 peratus, diikuti dengan Pembuatan perabot (85.8%).

Namun begitu, dua industri merekodkan kapasiti penggunaan di bawah 80 peratus iaitu pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan (75.4%); dan pembuatan kayu dan produk kayu dan gabus, kecuali perabot; pembuatan bagi artikel jerami dan bahan-bahan anyaman (74.8%).

Berbanding dengan suku tahun sebelumnya, kadar kapasiti penggunaan bagi industri berorientasikan eksport meningkat 1.8 mata peratus daripada 79.5 peratus.

Pada masa yang sama, industri berorientasikan domestik turut berkembang sebanyak 3.4 mata peratus kepada 83.7 peratus.

Tiga industri dalam segmen ini mencatatkan kadar kapasiti penggunaan melebihi 85 peratus, iaitu industri pembuatan produk tembakau (94.7%); pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler (88.3%); dan pembuatan produk farmaseutikal asas, kimia perubatan dan botani (85.6%).

Sebaliknya, kadar penggunaan kapasiti terendah telah dicatatkan oleh industri pembuatan kertas dan produk kertas dengan 77.1 peratus berbanding suku pertama 2024, industri berorientasikan domestik meningkat 0.1 mata peratus daripada 83.6 peratus.

Kadar kapasiti penggunaan industri pembuatan di tujuh buah negeri melepasi kadar nasional pada suku kedua tahun 2024, iaitu Labuan (94.3%), Terengganu (84.8%), Pahang (84.7%), Selangor (84.6%), Negeri Sembilan (84.4%), Melaka (83.5%), danJohor (83.3%).

Hampir semua negeri mencatatkan peningkatan kadar kapasiti penggunaan tahun ke tahun, kecuali Terengganu dan Kelantan. – MalaysiaGazette