Fahmi Fadzil.

PUTRAJAYA – Tuduhan bahawa rakaman video ucapan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin yang menyentuh isu 3R (agama, raja dan kaum) disunting adalah cubaan untuk menyalahkan pihak lain atas kesalahan sendiri.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil berkata, tuduhan yang dibuat oleh Ketua Pemuda Bersatu, Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamal itu juga disebabkan berasa panik selepas Muhyiddin sekali lagi berdepan kontroversi.

Sedangkan, tambah Fahmi yang juga Menteri Komunikasi, beliau sendiri mendengar ucapan Muhyiddin yang disiarkan secara langsung menerusi platform media sosial milik Pas.

“Kalau nak salahkan mana-mana pihak, (Wan Fayhsal) sepatutnya salahkan Pas yang telah siarkan ucapan tersebut secara `live’.

“Saya rasa Wan Fayhsal sekarang ini berasa panik sebab sekali lagi Presiden Bersatu menjadi punca kontroversi,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Fahmi ditanya berkenaan dakwaan Wan Fahysal bahawa rakaman ucapan Muhyidin disunting sehingga menampakkan beliau menyentuh mengenai isu sensitif 3R ketika menyampaikan ceramah pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri baru-baru ini.

Dalam pada itu, Fahmi turut menilai kontroversi ucapan Muhyiddin tersebut tidak memberi kelebihan kepada Bersatu ketika ini.

Malah, beliau turut menyifatkan Muhyiddin seolah-olah sudah jatuh ditimpa tangga apabila bukan hanya Perikatan Nasional (PN) kalah pada PRK Nenggiri, sebaliknya kini turut disiasat polis.

Polis hari ini merakam keterangan Muhyiddin selama kira-kira sejam di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) susulan kira-kira 30 laporan yang dibuat terhadap beliau berkait ucapan ketika berkempen di PRK Nenggiri tersebut.

Dalam rakaman yang tular di media sosial, bekas Perdana Menteri berkenaan dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16. – MalaysiaGazette