CETAK rompak hasil karya filem, muzik dan perisian komputer di Malaysia bukanlah suatu masalah yang baru. Penghasilan teknologi yang canggih memungkinkan aktiviti cetak rompak ini lebih berleluasa. Produk cetak rompak filem, muzik dan perisian komputer yang membanjiri pasaran mengakibatkan kerugian besar khususnya kepada pemunya hak cipta dan kepada negara secara amnya. Undang-undang telah digubal bagi mengawal aktiviti cetak rompak.Usaha awal yang dilakukan oleh pihak kerajaan untuk mengatasi masalah ini adalah dengan memperkenalkan Akta Hak Cipta 1987.

Cetak rompak merupakan satu pelanggaran kepada undang-undang hak cipta. Hak cipta adalah salah satu daripada bentuk harta intelek. Oleh itu, seorang pembeli memiliki hak milik terhadap harta tetapi dia tidak boleh melakukan apa-apa terhadap barangan tersebut yang menyalahi undang-undang hak cipta seperti melakukan cetak rompak terhadap hasil karya tersebut. Perlindungan terhadap setiap karya yang termaktub di bawah AktaHak Cipta 1987 amat penting. Ini kerana seandainya sesuatu karya dengan sewenang-wenangnya dicetak rompak tanpa sebarang perlindungan diberikan kepada pemunya hak cipta, suatu masa nanti tiada pihak yang akan menerbitkan karya untuk masyarakat.

Hal ini berikutan pemunya hak cipta tidak mendapat apa-apa pulangan kewangan daripada usaha dan titik peluh mereka. Apabila ini berlaku, maka tidak akan ada lagi
perkembangan kebudayaan dan seni dalam masyarakat. Namun pemilik atau pemunya karya yang mengetahui hak mereka di bawah undang-undang hak cipta tidak akan segan silu untuk mengambil tuntutan sivil sekiranya hak cipta dilanggari oleh individu atau peniaga atau sesiapa sahaja.

Baru-baru ini Astro telah mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik restoran nasi kandar kerana menggunakan siaran tanpa kebenaran. Natijahnya, restoran tersebut, Thaqwa (Malaysia) Sdn. Bhd telah bersetuju membayar RM221,773.20 kepada anak syarikat Astro Malaysia Holdings Bhd., Measat Broadcast Systems Sdn. Bhd. kerana menggunakan siaran tanpa kebenaran. Berdasarkan kenyataan Astro, Thaqwa telah menggunakan langgangan di dua buah restoran miliknya ke lapan lagi restoran tanpa kebenaran. Thaqwa didakwa telah menggunakan kad pintar Astro, kotak dekoder dan peralatan-peralatan yang tertentu untuk mengakses serta memaparkan kandungan Astro ke lapan restoran tersebut.

Tindakan restoran tersebut telah menyebabkan Astro mengambil tindakan tegas kerana Astro sememangnya sangat komited dalam mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang hak cipta. Premis komersial adalah dilarang untuk menayangkan kandungan kepada orang ramai daripada sumber yang tidak dibenarkan, termasuk tayangan Astro tanpa lesen komersial yang sewajarnya. Menurut Seksyen 36 Akta Hak Cipta 1987, menayang atau mempertontonkan kandungan hak cipta Astro kepada orang ramai di premis perniagaan tanpa kebenaran atau lesen Astro adalah satu tindakan melanggar hak cipta.

Astro bukan sahaja mengambil tindakan undang-undang terhadap premis komersial sahaja tetapi juga terhadap individu yang bersalah melayari atau menayangkan kandungan hak ciptanya. Mengikut kenyataan Ketua Pegawai Jualan dan Pemasaran, Tai Kam Leong, syarikat Astro memang akan mengenakan tindakan penguasaan dan undang-undang terhadap individu atau premis komersial yang melakukan aktiviti haram tersebut.

Astro pernah mengambil tindakan saman sivil terhadap premis makanan dan minuman (F&B) di Kuala Lumpur dan sebuah hotel butik di Cameron Highlands. Kedua-dua pemilik premis komersial tersebut telah membayar RM55,000 kepada Astro, serta membuat tindakan meminta maaf secara terbuka di media dan berjanji untuk tidak melanggar hak cipta Astro lagi.

Pada bulan Februari juga, Astro pernah mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang individu kerana menjual kotak TV dengan kandungan Astro yang tidak dibenarkan. Beliau didapati memiliki tiga kotak TV Android, dan dua kotak telah dimuatkan dengan kandungan Astro. Mahkamah Sesyen Ampang telah mengenakan denda sebanyak RM12,000 terhadap individu tersebut.

Namun apabila keluar berita Astro mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik restoran nasi kandar itu, kecoh juga respon daripada netizen dan masyarakat mengenai kes tersebut. Rata-ratanya masih ada pihak premis komersial dan juga masyarakat umum yang tidak peka dengan Akta Hak Cipta 1987. Kelakar juga membaca respons daripada netizen berhubung dengan berita tersebut.

Ada yang mengatakan Astro tengah kekurangan keuntungan, terpaksa mengejar individu dan premis komersial yang melanggar undang-undang untuk mendapatkan duit. Ada yang melawak, lepas ini harga nasi kandar akan naik sebab kena denda. Ada yang berseru kepada Astro untuk membuat siasatan di rumah-rumah pula untuk mendapat duit.

Ada yang mencela tindakan Astro tersebut dengan mengatakan faktor langgangan yang kurang menyebabkan Astro mengejar premis komersial untuk kelangsungan hidup. Ada yang mengatakan tindakan Astro untuk peras ugut premis komersial. Yang paling kelakar, ada yang menyarankan supaya pelanggan Astro tutup atau berhenti melanggan Astro serta boikot Astro supaya ia akan muflis.

Sebenarnya pihak premis komersial perlu mengambil Pakej Astro untuk bisnes untuk mereka yang memiliki premis komersial. Pakej ini ada syarat dan terma-terma tertentu yang perlu dipatuhi oleh pemilik komersial tersebut. Namun apabila premis komersial ini cuba menggunakan pelbagai alternatif lain yang bertentangan dengan Akta Hak Cipta, maka terpaksalah akur dengan hukuman serta denda yang setimpal dengan kesalahan mereka.

Orang ramai khususnya pemilik restoran perlu memastikan langganan Astro harus digunakan di lokasi yang dibenarkan bagi menghormati hak cipta dan harta intelek Astro. Namun persoalannya ialah sama ada pemilik premis komersial dan masyarakat amnya memahami kandungan Akta Hak Cipta 1987 tersebut.

Selvarani P. Kovil Pillai
Pensyarah Program Komunikasi Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast