Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa bercakap pada sidang media berkenaan Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Polis Kuala Lumpur ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sri Satria Blok A, Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Kertas siasatan membabitkan laporan portal Malaysiakini berhubung perubahan jawatan membabitkan beberapa nama-nama besar dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tular baru- baru ini telah siap.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya akan menyerahkan kertas siasatan itu kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam minggu ini untuk tindakan lanjut.

“Setakat ini, seramai empat orang telah dipanggil termasuk tiga wartawan portal terbabit. Jadi, kertas siasatan akan diserahkan kepada AGC dalam minggu ini juga,” katanya pada sidang media selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Pada 9 Ogos lalu, tiga wartawan sebuah portal berita itu dipanggil memberi keterangan berhubung laporan berita yang mengaitkan pertukaran kepimpinan tertinggi PDRM termasuk melibatkan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Ketiga-tiga mereka dipanggil bagi dirakam percakapan kira-kira sejam pukul 2.35 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi membantu siasatan.

Susulan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menyifatkan laporan terbabit sebagai tidak benar kerana tiada kenyataan yang dikeluarkan oleh Bukit Aman.

Menurut peguam yang mewakili ketiga-tiga wartawan itu Rajsurian Pillai, mereka disiasat di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia. – MalaysiaGazette