Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

KUALA LUMPUR – Kertas siasatan berhubung ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa menyentuh isu kaum, agama dan raja (3R) semasa berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri, Ogos lepas diserah kepada Jabatan Peguam Negara, hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi berkata, setakat ini polis telah merakam keterangan 66 saksi untuk membantu siasatan kes tersebut.

“Hari ini, pegawai dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman telah selesai mengambil keterangan daripada Pengerusi Perikatan Nasional itu dan beliau telah menjawab semua soalan yang diberikan.

“Berikutan itu, kertas siasatan kes tersebut akan diserah kepada AGC untuk tindakan lanjut,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Terdahulu, bekas Perdana Menteri ke-8 itu menyerahkan beberapa dokumen penting Termasuk Akuan Berkanun 115 Ahli Parlimen kepada polis semasa dirakam percakapan di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), KL Sentral bermula 11 pagi tadi selama sejam bagi membantu siasatan lanjut.

Beliau berkata, antara dokumen diserahkan adalah surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat bertarikh 20 November 2022 mengandungi titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-16 yang meminta Ahli Dewan Rakyat mendapat sokongan majoriti untuk menjadi Perdana Menteri.

Razarudin pada Isnin mengesahkan bahawa, siasatan ke atas Presiden Bersatu itu dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Sebelum itu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah turut menzahirkan kemurkaan dan terkilan atas tindakan Muhyiddin yang dilihat secara sengaja dan sinis mempertikaikan peranan Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong,

Beliau turut menggesa PDRM mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap Muhyiddin yang dikatakan secara sengaja menyentuh sentimen 3R.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Muhyiddin serah beberapa dokumen untuk siasatan polis