Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin harus tahu tentang kesan daripada kenyataan beliau yang didakwa berunsur 3R (Raja, Agama, Bangsa)ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Muhyiddin jelas celupar ketika membuat kenyataan tersebut dan ia menyinggung institusi diraja apabila mendapat respon Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah.

“Mungkin orang itu (Muhyiddin) tidak boleh menerima hakikat bahawa titah untuk bentukan kerajaan perpaduan itu adalah dengan niat Tuanku ketika itu bagi menyatu-padukan semua parti gabungan agar tidak lagi berlaku ketidakstabilan di dalam politik tanahair.

“Tetapi orang itu mungkin melihat dari aspek gila talak kerana tidak lagi mendapat jawatan itu semua. Ianya telah terpacul dari mulutnya ketika kempen PRK DUN Nenggiri, pada hemat saya ianya sangat tidak bertatasusila kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada media selepas menghadiri program pidato Piala Datuk Nurul Amal, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata demikian mengulas pertanyaan media mengenai kenyataan Muhyiddin yang mendakwa mendapat sokongan 115 Ahli Parlimen selepas Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) dan sepatutnya dipanggil oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ketika itu untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

Kelmarin, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah murka terhadap kenyataan itu yang disifatkan memperlekeh peranan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketia menjadi YDPA ke-16.

Bagaimanapun, Muhyiddin menegaskan ucapannya adalah kenyataan fakta dan tidak bermaksud menghina institusi raja, sambil berkata, beliau akan menjelaskan perkara tersebut dalam siasatan polis, hari ini.

Pada sidang media sama, Ahmad Zahid berkata, Barisan Nasional (BN) masih belum memuktamadkan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Johor.

Jelasnya, satu mesyuarat di peringkat perhubungan UMNO dan BN negeri akan dibuat minggu depan bagi membincangkan soal calon PRK berkenaan.

“Belum ada calon yang muktamad, minggu depan akan ada mesyuarat bersama Perhubungan UMNO Johor dan BN Negeri dan selepas itu kita akan bawa mesyuarat biro politik UMNO dan sementara itu kita akan bawa ke mesyuarat sekretariat kerajaan perpaduan untuk kita berikan pemakluman,” katanya.

Ahad lalu, Ahmad Zahid berkata, senarai nama calon bagi PRK DUN Mahkota, Kluang yang akan diadakan 28 September depan telah diterima.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, beliau akan berbincang dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor yang juga Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ketua UMNO Kluang, Datuk Jais Sarday sebelum nama calon diumumkan.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sebelum ini menetapkan PRK Mahkota diadakan pada 28 September manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 14 September 2024.

PRK itu diadakan susulan kematian bekas ADUN Mahkota, Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu. – MalaysiaGazette