Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melantik Tan Sri Peter Chin Fah Kui sebagai Pro Canselor UPM yang baharu.

KUALA LUMPUR – Tuanku Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melantik Tan Sri Peter Chin Fah Kui sebagai Pro Canselor UPM yang baharu, di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, semalam.

Sultan Sharafuddin yang juga Sultan Selangor turut berkenan melantik semula Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama Prof. Emeritus Datuk Dr. Ir. Muhamad Zohadie Bardaie sebagai Pro Canselor.

Pelantikan tersebut adalah untuk tempoh selama tiga tahun berkuat kuasa 18 Oktober 2024 hingga 17 Oktober 2027.

Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, Ketua Pengarah Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Prof. Dr. Azlinda Azman dan Naib Canselor UPM, Profesor Datuk Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah.

Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melantik semula Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Pro Canselor UPM.

Pelantikan itu selari dengan nic UPM yang mengangkat agenda pertanian sejak penubuhannya pada tahun 1971 dan komitmen universiti dalam memperkasakan pertanian untuk manfaat masyarakat dan negara.

Seiring dengan kepakarannya di IOI Corporation Berhad, beliau mampu menyumbang kepada pembangunan serta memperkukuhkan agenda pertanian dan keterjaminan makanan negara secara amnya dan upm secara khususnya.

Terdahulu, Tan Sri Peter Chin telah menyandang pelbagai jawatan kanan dalam Kerajaan Malaysia dari tahun 1986 sehingga bersara pada Mei 2013.

Antara jawatan yang pernah disandang beliau adalah Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar dan Setiausaha Parlimen, Kementerian Kebajikan.

Majlis Istiadat Pengurniaan Watikah Perlantikan Pro Canselor UPM di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, Selangor. – MalaysiaaGazette