Pemain Selangor FC, Mohd Faisal Halim kembali beraksi buat kali pertama selepas kecederaan disimbah asid pada saingan Liga Super Malaysia 24/25, Selangor FC menentang Kelantan Darul Naim FC di Stadium MBPJ, Petaling Jaya. Foto SADIQ SANI, 10 OGOS 2024

PETALING JAYA – Ketua jurulatih kebangsaan yang baharu, Pau Marti enggan risiko untuk memanggil penyerang lincah, Faisal Halim beraksi di Pestabola Merdeka 2024 bulan depan.

Beliau berkata, pemain Selangor itu perlu diberi ruang bersama kelabnya bagi pulih sepenuhnya daripada segala aspek agar lebih bersedia untuk menyarung jersi Malaysia pada masa akan datang.

Namun pengendali Sepanyol itu bangga dan gembira dengan semangat juang ditunjukkan Faisal yang sudah dapat kembali di atas padang baru-baru ini.

“Keputusan diambil selepas mengambil tahap kecergasannya dan dia masih perlu fokus dalam proses pemulihan.

“Walaupun Faisal menunjukkan peningkatan, dia memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya untuk kembali beraksi di peringkat antarabangsa.

“Namun saya gembira kerana dia sudah kembali beraksi dan menunjukkan satu karakter yang baik untuk muncul semula di atas padang,” katanya pada sidang media di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di sini hari ini.

Nama Faisal tiada dalam senarai 26 pemain dipanggil ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula 29 Ogos ini bagi menghadapi Pestabola Merdeka 2024.

Kejohanan edisi ke-43 akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil dari 4 hingga 8 September depan.

Daripada senarai itu, lapan pemain dipanggil semula iaitu penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed selain Arif Aiman Hanapi, Romel Morales, Afiq Fazail, Azam Azmi Murad, Darren Lok, Harith Haiqal Adam Afkar dan Syafiq Ahmad.

Pada 11 Ogos lalu, Faisal kembali beraksi di atas padang buat kali pertama pada aksi Liga Super 2024 menentang Kelantan Darul Naim (KDN) FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya.

Dia yang lebih dikenali sebagai Mickey dimasukkan pada 10 minit terakhir sebelum perlawanan tamat dengan memakai topeng khas di muka.

Aksi itu dinantikan oleh pemain kelahiran Pulau Pinang setelah sekian lama berehat akibat kecederaan melecur tahap empat yang dialaminya pada awal Mei lalu.

Pada 5 Mei lalu, Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya dan terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama kira-kira 10 hari. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast