Seorang wanita warganegara Myanmar berumur 40 tahun ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah di kawasan dapur rumahnya jenis teres 2 tingkat, Seksyen 25, Shah Alam

SHAH ALAM – Kerana tidak tahan asyik dimarahi kerana masalah kewangan, seorang lelaki berusia 20 tahun bertindak nekad menikam ibunya di bahagian perut menggunakan sebilah pisau ketika sedang memasak di kediamannya di Seksyen 25, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, ketika kejadian jam 4.30 petang, wanita itu yang juga warganegara Myanmar berada seorang diri dan sedang memasak di kawasan dapur dalam kediaman teres dua tingkat yang disewanya.

“Pihak polis telah menerima maklumat berkaitan kejadian ini jam 5.49 petang daripada seorang perempuan Melayu yang merupakan jiran sebelah rumah si mati setelah diberitahu oleh anak bongsu si mati yang baru pulang dari sekolah.

“Hasil siasatan mendapati, si mati yang berusia 40 tahun telah bergelut dengan suspek dan telah ditikam dengan senjata tajam.

“Pemeriksaan tubuh si mati telah menemui beberapa kesan tikaman pada badan si mati,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menahan seorang lelaki yang juga warganegara Myanmar kerana disyaki menikam ibunya sampai mati tidak jauh dari kediamannya di Seksyen 25, Shah Alam, kira-kira jam 7.30 malam semalam. “Lelaki warganegara Myanmar berumur 20 tahun itu merupakan anak sulung kepada si mati. “Turut dijumpai senjata pisau yang digunakan untuk menikam si mati di tempat kejadian.

Menurut Mohd Iqbal, susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki yang juga warganegara Myanmar itu tidak jauh dari kediamannya kira-kira jam 7.30 malam semalam.

“Lelaki warganegara Myanmar berumur 20 tahun itu merupakan anak sulung kepada si mati.

“Turut dijumpai senjata pisau yang digunakan untuk menikam si mati di tempat kejadian.

“Siasatan lanjut mendapati, suspek tidak berpuas hati dengan si mati kerana asyik memarahinya disebabkan masalah kewangan,” katanya.

Susulan tangkapan itu, Majistret Shah Alam, Ameera Mastura Khamis membenarkan lelaki berkenaan direman selama tujuh hari bermula 21 hingga 27 Ogos bagi membantu siasatan kes ini.

Dalam pada itu, Mohd Iqbal mengesahkan suspek tidak mempunyai masalah kesihatan khususnya mental serta tiada rekod jenayah lampau ditemui.

“Setakat ini, polis telah mengambil keterangan daripada lapan individu,” katanya.

Ketika ditanya tentang keberadaan suami mangsa ketika kejadian, beliau berkata, pasangan wanita berkenaan berada di tempat kerja.

Selain itu, katanya, hasil bedah siasat ke atas mangsa mendapati, punca kematian wanita berkenaan berpunca daripada mati lemas akibat ditekup dan mempunyai kesan tikaman di perut.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dan jika disabitkan kesalahan membunuh orang hendaklah dihukum mati.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Muhammad Abdul Hafiz Sariee di talian 014-8905051,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast