KUALA LUMPUR – Kerja-kerja menaik taraf Krematorium Klang sudah dimulakan sejak bulan Jun 2023 dan dijangka siap pada 30 Oktober tahun ini, kata Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
Kerja-kerja itu merangkumi penggantian dan pembaikan tempat pembakaran mayat serta pembaikan beberapa infrastruktur di situ.
Sehubungan itu, Pengarah Komunikasi Korporat, Norfiza Mahfiz menafikan sebarang kenyataan yang mendakwa tiada peruntukan kewangan bagi kerja-kerja baik pulih Krematorium Klang seperti yang didakwa oleh seorang individu yang bernama Awtar Singh baru-baru ini.
Norfiza menjelaskan, dakwaan itu berniat jahat dan penuh dengan unsur menghasut netizen di laman sosial milik individu berkenaan.
Beliau mendakwa, bekas ahli majlis sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) itu turut mengeluarkan kata-kata kesat kepada pemimpin setempat termasuk Ahli Majlis MBDK.
Menurutnya, Jabatan Kejuruteraan MBDK juga telah mengemas kini dan menjalankan pemantauan kerja-kerja penaiktarafan Krematorium Klang yang kini masih dalam proses baik pulih.
“Kerja-kerja dijangka siap pada 30 Oktober 2024 dan pada Sabtu lepas, Jabatan Kejuruteraan telah menjalankan pembaikan pada beberapa kerosakan kecil yang diadukan,” ujar beliau lagi.
Antara pembaikan yang dijalankan melibatkan kipas dan lampu di bahagian hadapan, tandas manakala kerosakan seperti pada bahagian bumbung akan dilaksanakan secara berperingkat oleh jabatan kejuruteraan.
Menurutnya, tuduhan yang mengatakan kepentingan hak kaum India dinafikan oleh MBDK agak keterlaluan dan pihaknya kini sedang meneliti beberapa sudut termasuk proses undang-undang terhadap individu berkenaan. – MalaysiaGazette