Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengibarkan bendera jalur gemilang dan Umno ketika hadir Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno Malaysia 2024 sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 21 OGOS 2024. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menggesa agar parti segera mengambil peduli terhadap Generasi Z (golongan yang lahir pada 1997-2010).

Jelas Mohamad, sekiranya parti mengabaikan generasi ini, maka UMNO akan melalui Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang lebih sukar.

“Apabila Undi18 dilaksanakan, kita digempur dari segenap penjuru oleh Gen Z dan milennial. Dan akhirnya kita tergelincir dari puncak kuasa.

“Percayalah, kita akan melalui pilihan raya yang lebih sukar dalam masa tiga tahun dari sekarang, malah lebih sukar dari PRU ke-15, jika kita gagal mengurus aspirasi Gen Z ini.

“Mereka tidak mempunyai ‘sentimental attachment’ dengan UMNO ini. Atau tidak mempunyai hubungan langsung dengan UMNO,” katanya dalam ucapan perasmian ketiga-tiga sayap pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU2024) di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), malam tadi.

Mohamad berkata beberapa negara telah dilanda revolusi Gen Z yang terbaru adalah  kejatuhan Kerajaan Bangladesh akibat desakan yang berterusan dari generasi muda.

Jelas beliau, golongan ini membesar dalam dunia yang menyaksikan UMNO tidak lagi dominan dalam persada politik negara.

Katanya golongan seperti ini tidak mempunyai parti dan mereka menilai sesuatu berdasarkan apa yang mereka peroleh, baca dan tatap di pelbagai platform media sosial.

“Mereka menewaskan pelbagai dasar kerajaan dengan hanya serangan yang dipaparkan di skrin media sosial mereka. Bagi mereka, itu adalah ruang paling baik untuk mereka berpartisipasi dalam demokrasi.

“Dan itulah realitinya, bahawa ‘ruang demokrasi’ kita sekarang ini adalah di persada maya. Tidak ada fasa dalam peradaban politik, yang menyaksikan gelombang demokrasi digital lebih memberi impak dan cabaran,berbanding waktu ini,” jelas Mohamad lagi.

Justeru itu, beliau berkata UMNO perlu segera menggerakkan percaturan antaranya melaksanakan kempen dengan penuh kreativiti dalam pelbagai bentuk iklan, video, infografik, animasi, aksi Tik Tok yang luar biasa di pelbagai spektrum media tradisional dan media sosial.

Antara lain, menjadikan kempen media sosial di pelbagai platform sebagai kempen perdana, menggerakkan kempen secara dinamik, anjal dan tidak rigid.

“Keempat, kemunculan pempengaruh dari kalangan Gen Z dan millenials. Mereka lebih berupaya mempengaruhi pemilih jika dibandingkan dengan pemain politik.

“Malah, ramai sekali yang bekerja sepenuh masa dengan calon tertentu dan bertugas mempengaruhi segmen tertentu di kalangan pengundi. Semua ini menggambarkan betapa besarnya impak Gen Z dan milennial.

“Justeru, sangat penting untuk keseluruhan jentera, dan sayap pergerakan parti kita,mempunyai operasi elektoral khusus, bagi mengurus kecanggihan Gen Z dan milennial ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast