Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan hadir pada Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno Malaysia 2024 sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 21 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – UMNO tidak boleh sesekali lalai dalam kuasa bersama kerajaan perpaduan, kata Datuk Seri Mohamad Hasan.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata sebagai parti tunjang Melayu, pimpinan mahu pun ahlinya tidak perlu hidup dalam penafian kerana kuasa yang dimiliki kini hanyalah pelengkap kepada kerajaan dan bukannya berkuasa sepenuhnya.

“Janganlah dek kerana kita ada perkongsian kedudukan dalam kerajaan, lalu kita lalai dalam tanggungjawab kita, merawat dan memulihkan keyakinan bangsa terhadap UMNO.

“Justeru, usaha memulihkan kepercayaan ini, mesti kita giatkan.

“Pastinya tiada jalan mudah, untuk menawan kembali nurani bangsa Melayu. Ia akan mengambil masa.

“Namun itulah harga sebuah perjuangan,” katanya dalam ucapan perasmian ketiga-tiga sayap pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU2024) di Pusat Konvensyen Dunia (WTCKL), malam tadi.

Justeru itu, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata adalah penting untuk UMNO mengembalikan kepercayaan kepada rakyat khususnya kaum Melayu dengan mengembalikan kesatuan UMNO sebagai sebuah parti.

Tambah beliau lagi, UMNO perlu kukuh bersatu dari dalam dan ahli juga harus kekal setia kepada parti.

“Keyakinan orang Melayu kepada UMNO, Insya-Allah akan berputik, apabila kita dilihat sebagai satu ketumbukan politik yang kemas, dalam kerjasama dan persefahaman kita.

“Alhamdulillah, kita akui dan hargai, yang UMNO pada waktu ini, telah berjaya menampilkan kesatuan dalam parti ini.

“UMNO kini sedang melalui fasa yang tenang. Kita telah berjaya meredakan segala anasir yang ingin memecahbelahkan parti,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohamad berkata kemenangan Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri bukan boleh disifatkan sebagai penanda aras bahawa UMNO semakin pulih dan diterima rakyat.

Malah katanya, kejayaan merampas kembali kerusi itu hanyalah permulaan kepada perjalanan jauh yang lebih getir dan mencabar.

“Pengajaran besar dari PRK tersebut ialah, sokongan bangsa Melayu itu tidak pegun. Ia dinamik.

“Ia boleh beralih selari dengan kedinamikan calon, strategi dan isu yang ditampilkan.

“Hakikatnya, orang Melayu masih belum menunjukkan dengan jelas, bahawa mereka telah mula beramai-ramai, kembali mendukung UMNO,” katanya lagi.

Sabtu lalu, calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani menang pada PRK DUN Nenggiri.

Mohd Azmawi Fikri mendapat 9,091 undi dengan majoriti 3,352 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Rizwadi Ismail (5,739 undi). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast