Foto: JIM

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu empat buah pusat hiburan berkaraoke (KTV) yang menawarkan perkhidmatan gadis pelayan pelanggan (GRO) warga China di Jalan Raja Chulan, di sini, awal pagi ini.

Premis yang berselindung di sebalik sebuah menara pejabat 21 tingkat itu dipercayai mengenakan caj tempahan bilik karaoke bermula RM1,000 sehingga RM30,000, bergantung kepada saiz bilik dan perkhidmatan lain.

Malah pelanggan dipercayai dipercayai dikenakan bayaran bermula RM1,000 hingga mencecah RM20,000 untuk layanan ‘VIP’.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha yang mengetuai operasi serbuan itu berkata, dalam serbuan pada jam 12.45 tengah malam sehingga 2.45 pagi tadi pihaknya menahan 213 individu.

Tambahnya, daripada jumlah itu, 14 orang adalah warga tempatan dan 199 ialah pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk seramai 109 wanita yang berusia antara 20 hingga 60 tahun.

“Kesemua warga asing yang ditahan itu terdiri daripada 186 warga China, dua warga Kemboja, dua warga Hong Kong dan masing-masing satu warga asing dari Bangladesh, Pakistan, Sierra Leon, Myanmar, Thailand, Taiwan, Indonesia, Antigua and Barbuda dan Saint Kitts and Nevis.

“Siasatan awal Imigresen mendapati kesemua wanita warga China disyaki GRO itu dibawa oleh pengunjung atau pelanggan premis karaoke itu sebagai teman berhibur,” katanya.

Menurut Jafri, siasatan mendapati pusat hiburan karaoke itu telah beroperasi sejak awal Julai lalu dan pemeriksaan di lokasi mendapati empat premis hiburan itu beroperasi dengan pengurusan berbeza di tingkat berbeza.

“Kita juga mendapati pelanggan tidak boleh masuk secara walk in sebaliknya perlu membuat tempahan secara dalam talian dengan pusat hiburan berkaraoke itu.

“Imigresen juga mengesyaki bilik karaoke itu dikenakan bayaran bermula dari harga serendah RM4,000 hingga mencecah RM30,000 dan beroperasi tujuh hari seminggu bermula jam beroperasi bermula 11 malam hingga 4 pagi setiap hari.

“Selain itu, kebanyakan warga asing yang ditahan itu menerusi hasil soal siasat mendapati mereka masuk ke Malaysia sebagai pelancong dan ada yang datang semata-mata untuk berhibur berkaroke,” ujarnya.

Fafri berkata, antara kesalahan yang dilakukan oleh warga asing itu ialah mereka tinggal lebih masa di negara ini, salah guna pas serta tiada memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Katanya, kesemua mereka yang ditahan akan dibawa ke pejabat imigresen Kuala Lumpur untuk proses dokumentasi dan disiasat kerana kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(C) kerana tiada dokumen perjalanan sah dan Seksyen 15(1)(C) kerana tinggal lebih masa di bawah Akta Imigresen 1959/63. – MalaysiaGazette