KUALA LUMPUR – Inflasi Malaysia pada Julai 2024 meningkat 2.0 peratus, kekal sejak Mei 2024 dengan mata indeks mencatatkan 133.1 berbanding 130.5 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Peningkatan inflasi pada Julai 2024 telah didorong oleh peningkatan bagi kumpulan utama restoran & perkhidmatan penginapan (3.4%); penjagaan diri, perlindungan
sosial & pelbagai barangan & perkhidmatan (3.2%); rekreasi, sukan & kebudayaan (2.2%) dan kesihatan (1.9%).

Sementara itu, kumpulan makanan & minuman (1.6%) telah merekodkan peningkatan lebih perlahan berbanding bulan sebelumnya.

Selain itu, kumpulan perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (3.2%), pendidikan (1.7%), pengangkutan (1.2%) dan hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (0.9%) meningkat pada kadar yang sama seperti yang direkodkan pada bulan sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin menyatakan inflasi restoran & perkhidmatan penginapan meningkat kepada 3.4 peratus (Jun 2024: 3.3%) disebabkan oleh peningkatan subkumpulan utama perkhidmatan penyediaan minuman kepada 4.3 peratus (Jun 2024: 4.2%).

Manakala, inflasi bagi penjagaan diri, perlindungan sosial & pelbagai barangan & perkhidmatan meningkat 3.2 peratus pada Julai 2024 berbanding 2.8 peratus pada Jun 2024.

Peningkatan ini disumbangkan oleh kelas perbelanjaan barang kemas & jam tangan kepada 18.1 peratus (Jun 2024: 15.3%).

Kumpulan makanan & minuman yang menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP mencatatkan peningkatan perlahan 1.6 peratus pada Julai 2024 (Jun 2024: 2.0%).

Subkumpulan utama makanan di rumah meningkat 0.3 peratus pada Julai 2024 berbanding 0.9 peratus pada bulan sebelumnya.

Walaupun, inflasi kelas perbelanjaan sayur-sayuran merekodkan peningkatan tertinggi bagi subkumpulan utama makanan di rumah, telah mereda kepada
2.9 peratus pada Julai 2024 (Jun 2024: 6.2%).

Antara sayur-sayuran yang merekodkan penurunan adalah Kacang buncis, brokoli, timun dan kailan.

Inflasi bagi kelas perbelanjaan Daging menurun kepada negatif 1.1 peratus pada Julai 2024 (Jun 2024: 0.2%).

Daging ayam segar yang merupakan komponen terbesar merangkumi 32.6% dalam kelas perbelanjaan daging telah merekodkan negatif 2.7 peratus berbanding 1.1 peratus pada Jun 2024.

Berdasarkan pengumpulan data oleh Jabatan Perangkaan, purata harga ayam standard Malaysia pada Julai 2024 adalah RM10.35 sekilogram berbanding RM10.51 sekilogram pada Julai 2023 (Jun 2024: RM10.58).

Manakala di peringkat Semenanjung Malaysia, purata harga ayam standard direkodkan pada RM9.53 sekilogram berbanding RM9.85 sekilogram pada Julai 2023 (Jun 2024: RM9.92).

Di samping itu, penurunan pada kelas perbelanjaan ini juga adalah didorong oleh kenaikan perlahan Daging khinzir iaitu 0.9 peratus (Jun 2024: 2.1%).

Inflasi kelas perbelanjaan susu, produk tenusu lain & telur juga mencatatkan penurunan kepada negatif 0.2 peratus pada bulan Julai 2024 (Jun 2024: 0.5%).

Antara subkelas perbelanjaan yang mendorong kepada penurunan tersebut ialah telur, negatif 2.0 peratus (Jun 2024: 0.0%) seiring dengan pengumuman oleh kerajaan bagi harga runcit telur ayam gred A, B dan C di pasaran masing-masing diturunkan 3 sen sebiji berkuat kuasa pada 17 Jun 2024.

Subkumpulan utama makanan di luar rumah meningkat 3.2 peratus berbanding 3.3 peratus pada bulan sebelumnya.

Antara item yang merekodkan peningkatan lebih rendah pada Julai 2024 ialah adalah makanan berasaskan mi, masakan daging dan ayam.

Selain itu, inflasi pengangkutan mencatatkan peningkatan pada kadar  sama seperti bulan sebelumnya iaitu 1.2 peratus pada Julai 2024 disumbangkan oleh subkumpulan pengurusan peralatan pengangkutan persendirian yang meningkat kepada 1.8 peratus pada Julai 2024 (Jun 2024: 1.7%).

Antara item yang merekodkan kenaikan ialah diesel, 22.6 peratus (Jun 2024: 15.8%).

Kerajaan telah menetapkan harga runcit bahan api diesel pada RM3.35 seliter berbanding RM2.15 seliter bermula 10 Jun 2024 di Semenanjung Malaysia, manakala, harga
runcit Diesel di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.

Purata harga petrol tanpa plumbum RON97 pada Julai 2024 adalah RM3.47 seliter berbanding RM3.37 seliter pada Julai 2023 (Jun 2024: RM3.47).

Walau bagaimanapun, kerajaan telah harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia telah diturunkan sebanyak 5 sen kepada RM3.30 seliter bermula 8 Ogos sehingga 14 Ogos 2024 dan daripada RM3.30 seliter diturunkan kepada RM3.25 seliter bermula 15 Ogos sehingga 21 Ogos 2024.

Ini seiring dengan harga minyak mentah Brent pada Julai 2024 yang meningkat lebih rendah kepada 6.5 peratus (AS$85.30/tong) berbanding 10.2 peratus
pada Jun 2024 (AS$82.56/tong).

Mohd Uzir menambah, kebanyakan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras inflasi nasional 2.0 peratus namun empat negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Pulau Pinang (3.4%), Sarawak (2.7%), Pahang (2.6%) dan Selangor (2.4%).

Kesemua negeri mencatatkan peningkatan lebih rendah dalam inflasi mMakanan & minuman.

Kadar tertinggi dicatatkan oleh Selangor pada 3.0 peratus, diikuti oleh
Pulau Pinang (2.8%), Sarawak (1.9%), Sabah (1.7%), Pahang (1.6%) dan Terengganu (1.6%).

Sementara itu, negeri-negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras inflasi makanan & minuman nasional iaitu 1.6 peratus pada Julai 2024.

Inflasi keseluruhan secara bulanan pada Julai 2024 merekodkan kenaikan perlahan 0.1 peratus (Jun 2024: 0.2%) didorong terutamanya oleh insurans & perkhidmatan kewangan (0.5%), restoran & perkhidmatan penginapan (0.4%), kesihatan (0.3%) dan penjagaan diri, perlindungan sosial & pelbagai barangan & perkhidmatan (0.3%).

Sementara itu, inflasi teras meningkat 1.9 peratus pada Julai 2024, kadar yang sama seperti yang direkodkan pada Jun 2024 didorong terutamanya oleh kumpulan utama restoran & perkhidmatan penginapan (3.4%), penjagaan diri, perlindungan sosial & pelbagai barangan & perkhidmatan (3.2%) dan makanan & minuman (2.7%).