KUALA LUMPUR – Jasa dan sumbangan para pesara kerajaan sepanjang berkhidmat dalam perkhidmatan awam adalah amat besar.

Lantaran itu, Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, komitmen dan kesungguhan para pesara sewajarnya dicontohi dan diteruskan oleh mereka yang masih berada dalam perkhidmatan sebagai jentera penting Kerajaan.

“Tumpuan harus diberikan untuk sentiasa mencari ruang penambahbaikan sistem penyampaian kerajaan demi memberikan perkhidmatan sehabis baik kepada rakyat dan negara secara keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata demikian ketika meraikan  45 orang pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang telah dan akan bersara pada 2024 dalam satu Majlis Persaraan Sanjungan Budi, Kilauan Bakti, hari ini.

Armizan menambah, kerajaan amat menghargai sumbangan para penjawat awam dan mengiktiraf peranan penting perkhidmatan awam dalam menentukan keberkesanan penggubalan dan pelaksanaan dasar dan program Kerajaan.

Katanya, penghargaan dan pengiktirafan ini diterjemahkan dengan komitmen untuk mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif termasuk laluan kerjaya dan emolumen para penjawat awam.

“Keprihatinan ini dizahirkan melalui penggubalan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Ogos 2024 yang lalu.

“Antara komponen SSPA adalah pelarasan semula emolumen yang melibatkan kenaikan gaji para penjawat awam di semua peringkat.

“Hakikatnya, kenaikan gaji ini bukan sahaja manifestasi pengiktirafan Kerajaan Madani kepada para penjawat awam, tetapi juga seiring dengan agenda kerajaan untuk menangani beban kos sara hidup dalam kalangan kakitangan awam.

“Pendekatan ini juga bersandarkan kepada strategi kerajaan hari ini untuk mendepani isu kos sara hidup global yang bukan sahaja menumpukan kepada usaha mengawal harga barangan dan perkhidmatan, tetapi juga menggerakkan ikhtiar untuk mencipta dan meningkatkan pendapatan rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, Armizan menyeru para penjawat awam di KPDN untuk menyusul keprihatinan kerajaan dengan memperbaharui iltizam dan komitmen untuk meningkatkan produktiviti kerja.

Ujar beliau, kecekapan dan ketangkasan kerja para penjawat awam di KPDN adalah amat penting untuk memelihara kepentingan rakyat.

“Ini termasuk dalam aspek pemantauan dan penguatkuasaan kefungsian KPDN yang terkait langsung dengan isu kepenggunaan dan kos sara hidup.

“Harapan tinggi Kerajaan Madani terhadap warga KPDN terserlah dengan keputusan Perdana Menteri untuk mengadakan perjumpaan khas dengan memberikan amanat secara langsung kepada jentera penguatkuasaan KPDN yang akan berlangsung esok pukul 2.45 petang bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

“Sejak Bahagian Penguat Kuasa KPDN ditubuhkan pada tahun 1972, inilah kali pertama Perdana Menteri hadir dalam satu sesi amanat khusus bersama warga penguatkuasa KPDN,” katanya. – MalaysiaGazette