Pemangku Ketua Pengarah, Laksamana Madya Maritim, Datuk Saiful Lizan Ibrahim

PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) turut mempraktikkan pelaksanaan pusingan kerja yang menjadi amalan sedia ada agensi itu bagi mengelakkan ketirisan atau isu integriti.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, tindakan tegas juga akan diambil di peringkat dalaman sekiranya terdapat pegawai atau anggota culas serta tidak berintegriti ketika menjalankan tugas yang diamanahkan.

“Sehubungan itu, beberapa langkah telah diambil dalam menanganinya termasuk melaksanakan pusingan kerja bagi posisi tugas berisiko selain turut mengenakan tindakan tatatertib terhadap pegawai dan anggota didapati terlibat isu berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai menyahut usaha kerajaan, khususnya Kementerian Dalam Negeri yang menekankan pelaksanaan pusingan kerja lebih kerap dalam agensi-agensinya untuk membendung salah laku yang boleh merosakkan imej kementerian.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu sidang media berkata ketua jabatan perlu melaksanakan proses pusingan kerja secara berterusan bagi mengelak kes rasuah dan pelanggaran integriti dalam agensi penguat kuasa daripada terus berulang.

Saiful Lizan berkata Maritim Malaysia juga akan memperketat lagi kawalan sempadan perairan negara memandangkan masih terdapat laporan aktiviti jenayah di kawasan berkenaan.

Mengenai Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang akan bermula 1 Dis nanti, beliau berkata ia pendekatan baharu yang wajar dalam memastikan setiap penjawat awam, khususnya di Maritim Malaysia untuk sentiasa berdaya saing dengan memberikan perkhidmatan terbaik kepada negara dan masyarakat. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast