Perwakilan yang hadir pada Perhimpunan Pergerakan Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 22 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Kerajaan dicadang supaya menyelaras semua insuran kenderaan bermotor sebagai langkah bagi meringankan beban rakyat.

Wakil Perak, Mohd Adri Adha Mohamad berkata, dalam era yang semakin mencabar dan ketidaktentuan turun naik ekonomi ini, insuran dan bahan bakar kenderaan turut menjadi sasaran utama kenaikan harga.

Katanya, perkara itu amat membimbangkan masyarakat pada masa ini dan polemik tersebut berlaku kerana kemelesetan ekonomi dan juga permasalahan lain yang menjadi punca.

“Hal ini sewajarnya ditangani segera kerana boleh mengakibatkan kemarahan dan peningkatan harga barangan yang lain.

“Dahlah harga minyak semakin meningkat insuran kenderaan pun sama-sama naik,” katanya pada sesi perbahasan sempena Perhimpunan Agung Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Menurut Mohd Adri Adha lagi, kerajaan perlu mengawal selia syarikat insuran kenderaan dan pada masa yang sama sistem tiada tuntutan diskaun (NCD) perlu dikaji semula.

Malah katanya, ia juga perlu diselaraskan dengan pemotongan terus 55 peratus bagi pembelian kenderaan pertama.

“Hal ini bertujuan bagi membendung masalah ketidak telusan dalam birokrasi ejen insurans yang suka mengambil kesempatan terhadap masyarakat,” ujarnya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang.

Tambah beliau, pengenalan sistem kerajaan itu melibatkan pembaharuan insurans kenderaan, penyemakan status nilai peratusan polisi insurans dan penyemakan nilai kenderaan yang diinsurankan.

Katanya, secara tidak lansung pihak kerajaaan dapat menyasarkan insurans bersubsidi kepada rakyat. – MalaysiaGazette