Anggota penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia dibawa pegawai SPRM bagi permohonan reman didakwa menjadi dalang kegiatan sindiket membawa masuk warga asing di KLIA2 di Mahkamah Majistret, Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 21 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Penguat kuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA1) dan Terminal 2 (KLIA2) dipercayai menerima bayaran antara RM500 hingga RM2,500 daripada sindiket yang membawa masuk kumpulan warga asing ke negara ini menerusi modus operandi ‘counter setting’ atau laluan kaunter khas.

Menurut sumber, hasil risikan dijalankan mendapati bayaran rasuah kepada penguat kuasa yang menjadi tali barut sindiket  berbeza mengikut kewarganegaraan.

“Bayaran rasuah ini paling rendah sekitar RM500 bagi warga Uzbekistan dan paling tinggi RM2,500 bagi warga Bangladesh serta membabitkan bayaran berbeza bagi kumpulan warga asing daripada beberapa negara lain seperti Indonesia, China, Vietnam, Pakistan, India, Myanmar selain Yemen.

“Selain itu, bagi mengelakkan komunikasi mereka dikesan, penguat kuasa dan sindiket berkenaan turut menggunakan beberapa kod nama khas seperti School boy, Salak, Limau, Laici, Karpet, Kicap, Roti canai, Junta dan Ayam merujuk kepada kewarganegaraan kumpulan warga asing yang akan masuk ke negara ini bagi urusan di laluan kaunter khas yang telah diatur,” katanya.

Tambah sumber, mereka juga turut menggunakan kod sulit iaitu ‘lembu’ yang merujuk kepada pembayaran wang rasuah yang diterima daripada sindiket manakala kod nama ‘durian’ yang merujuk kepada upah kepada pegawai penguat kuasa di KLIA1 dan KLIA2 yang akan bertindak melepaskan kumpulan warga asing berkenaan.

“Menerusi MO ini, pegawai penguat kuasa di kedua-dua terminal berkenaan akan menerima senarai nama serta gambar pasport kumpulan warga asing yang akan tiba ke negara ini menerusi aplikasi Whatsapp daripada sindiket.

“Sebaik kumpulan warga asing itu tiba, meraka akan diarahkan untuk pergi ke kaunter tertentu bagi tujuan pelepasan masuk dan diberikan cop menetap selama 30 hari atau cop terbuka untuk menetap selama tujuh hari.

“Selepas itu, kumpulan warga asing berkenaan akan dibenarkan keluar dan akan diambil oleh ejen daripada kumpulan sindiket berkenaan untuk dibawa menggunakan kenderaan ke destinasi masing-masing,” katanya.

Menurut sumber, sebaik urusan kemasukan kumpulan warga asing berkenaan selesai, sindiket akan membuat bayaran wang rasuah secara tunai atau pindahan ke dalam akaun perbankan pegawai-pegawai penguat kuasa terlibat atau ke akaun milik proksi atau syarikat tertentu dalam tempoh satu hingga dua hari.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan operasi sedang dijalankan di KLIA 1 dan KLIA 2 berhubung isu kemasukan warga asing menerusi modus operandi ‘counter setting’ atau laluan kaunter khas serta tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan-tangkapan selanjutnya.

Menurut beliau, pihak SPRM sedang mengesan pegawai-pegawai penguatkuasa lain yang terlibat dan dijangka ramai lagi akan dipanggil utk membantu siasatan. Namun, warga asing yang mendapat layanan melalui modus operandi ini telah pun lesap dan sukar untuk dikeşan, tambahnya.

“Inilah yang menyebabkan penambahan lambakan pekerja tiada permit di negara ini. Mereka bukan datang untuk melawat tetapi untuk mencari pekerjaan tanpa melalui proses mendapatkan permit yang sewajarnya,” katanya.