KUALA LUMPUR – Perkhidmatan funikular Bukit Bendera akan ditutup sementara untuk penyelenggaraan berjadual dwi tahunan kali pertama bagi tahun 2025 bermula pada 6 Januari hingga 12 Januari 2025, dan akan beroperasi semula pada 13 Januari 2025.

Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) menjalankan dua ) penyelenggaraan berjadual utama pada setiap tahun di bawah pengawasan jurutera pengeluar funikular (Garaventa AG dari Switzerland) bagi memastikan sistem funikular berada dalam keadaan terbaik dan menjalani pemeriksaan keselamatan yang ketat.

Penyelenggaraan berjadual dwi-tahunan pertama 2025 termasuk membaik pulih sistem hidraulik di bilik mesin dan koc serta penyelenggaraan tahap 4 pada motor pemacu utama.

PBBPP juga menjalankan pemeriksaan dan penyelenggaraan sistem funikular secara harian, mingguan dan bulanan serta pemeriksaan turut dijalankan selepas waktu operasi.

“Pengunjung boleh memilih untuk menggunakan perkhidmatan jip yang dikendalikan oleh Persatuan Pemandu Perkhidmatan Jeep Bukit Bendera (sila hubungi 012-4541255) atau menggunakan laluan mendaki untuk sampai ke puncak Bukit Bendera semasa tempoh penutupan.

Tambahnya, kaunter Persatuan Pemandu Perkhidmatan Jeep Bukit Bendera yang terletak berhampiran Kelab Menembak Pulau Pinang akan dipindahkan ke ruang bersebelahan Jabatan Taman Botani Pulau Pinang bulan Oktober 2024,” katanya sambal mengucapkan terima kasih kepada semua pengunjung di atas kesabaran dan sokongan berterusan kepada Bukit Bendera. – MalaysiaGazette