Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah

JOHOR BAHRU – Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah mengingatkan penyokong pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) supaya berdisiplin ketika menyaksikan perlawanan akhir Piala FA, Sabtu ini.

Beliau berkata, para penyokong perlu menjaga tingkah laku dan kelakuan semasa Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Selangor FC di Stadium Nasional Bukit Jalil (SBNJ).

“Penyokong juga diharap tidak sesekali mencetuskan sebarang provokasi yang boleh mengundang perkara tidak diingini.

“Bangsa Johor yang merupakan ‘Pemain ke-12’ JDT memberi sokongan dengan laungan dan jeritan kepada pasukan JDT.

“Sememangnya lautan Merah Biru di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti menjadi faktor dan elemen tambahan serta kekuatan buat pemain-pemain JDT yang bakal turun beraksi nanti.

“Sabtu ini pasukan JDT dengan barisan pemain yang penuh persediaan rapi dan berada di tahap terbaik, mampu cipta sejarah dalam landskap arena bola sepak negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Hairi, berbekalkan status juara bertahan dan trek rekod serta prestasi memberangsangkan, pasukan JDT mampu melengkapkan hatrik kejuaraan setelah menjulang Piala FA Malaysia pada 2022 dan 2023.

Jelasnya, pasukan JDT telah bersiap sedia dan tidak akan memberi laluan mudah untuk Selangor FC dalam aksi final Piala FA nanti.

“Alhamdulillah, dalam laluan ke Final Piala FA, daripada keseluruhan lima perlawanan menyaksikan pasukan JDT hanya melepaskan satu gol dan prestasi yang diberikan semua pemain adalah pada tahap terbaik.

Semestinya kata Mohd Hairi, aura sebagai juara bertahan dan suntikan semangat untuk menjulang hatrik kemenangan Piala FA menjadi pembakar semangat kepada pemain, bahkan mampu membuat Selangor FA ‘bermandi peluh’.

“Insya-Allah berbekalkan prestasi, semangat dan keazaman ini, saya yakin JDT mampu berdepan dengan sebarang ‘kejutan’,” katanya.

Rabu lalu, Presiden Johor Fans Club, Azman A Jalil berkata, dianggarkan 60 bas disediakannya bersama kelab sekutu lain untuk berkonvoi menuju SNBJ, Sabtu ini.

Setiap kali pasukan JDT melangkah ke pentas perlawanan akhir baik Piala FA mahupun Piala Malaysia, kelab-kelab penyokong Harimau Selatan pastinya tidak melepaskan peluang membanjiri SNBJ.- MalaysiaGazette