Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi bercakap pada sidang media berkenaan Perhimpunan Agong UMNO ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di World Trade Centre Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 22 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – UMNO mengesahkan calon wanita turut disenaraikan dalam senarai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, bulan hadapan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, senarai calon belum dimuktamadkan bagaimanapun ia akan terdiri daripada calon daripada bahagian, negeri malah calon wanita turut disenaraikan.

“Kita telah menerima senarai daripada bahagian dan juga perhubungan negeri. Semua senarai calon akan dipertimbangkan dan kita masih mempunyai pendekatan WALI (boleh menang, akauntabiliti, dan disukai) itu dijadikan kriteria utama untuk pemilihan calon di PRK DUN Mahkota.

“Semua ada, daripada bahagian, negeri, wanita pun ada,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU2024) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) sehingga Sabtu depan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, mana-mana calon yang akan dimuktamadkan mesti melalui proses pertimbangan yang seadilnya daripada parti.

“Muka baru itu sudah pasti, anak muda atau wanita pertimbangan akan diberikan secara seimbang,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang, Zainani Jamaluddin; Ketua Pemuda UMNO Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah dan Shahrol Azizie Azmi atau lebih dikenali Shahrol Shiro disenaraikan sebagai calon UMNO pada PRK tersebut.

Malah nama Ketua Wanita UMNO Bahagian Segamat, Datuk Norshida Ibrahim yang juga bekas Ketua Penerangan Wanita UMNO turut disebut-sebut akan bertanding di situ.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, Allahyarhamah Sharifah Azizah yang juga calon mewakili BN memenangi kerusi DUN Mahkota dengan majoriti 5,166 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September. – MalaysiaGazette