KUALA LUMPUR – Usul supaya usia keahlian Puteri UMNO dilanjutkan sehingga ke 40 tahun perlu diluluskan dan dilaksanakan segera.
Exco Puteri UMNO, Norshaidatul Akhmar Sharudin berkata, lingkungan usia sehingga 40 tahun itu dilihat sesuai dan dekat dengan keperibadian Puteri UMNO.
Malah, ujar Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Pekan berkenaan, lingkungan usia itu juga disifatkan lonjakan kematangan dalam menilai kehidupan, namun masih selari dengan ideologi wanita muda.
“Usia 30-an bukannya tua pun, malah kita lebih terbuka dalam menilai dan Puteri UMNO juga memerlukan nasihat daripada senior-senior yang lebih berpengalaman untuk menguruskan parti dan berkomunikasi.
“Selain itu, variasi umur dalam Puteri UMNO juga akan menjadikan sayap ini lebih dinamik sebagai sebuah organisasi.
“Dengan itu, sekali lagi, saya kekal mencadangkan agar usia keahlian Puteri UMNO dilanjutkan kepada 40 tahun,” katanya memetik laporan UMNO Online hari ini.
Beliau berucap sebagai pencadang kepada ucapan dasar Ketua Puteri pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO (PAU) 2024 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.
Terdahulu, dalam ucapan dasarnya, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd. Fauzi membuka supaya usul meningkatkan usia keahlian Puteri UMNO sehingga 40 tahun dibahaskan para perwakilan.
Menurut Nurul Amal, beliau menerima pandangan yang pelbagai berhubung cadangan itu dengan ada yang mahu ia dilaksanakan segera memandangkan sudah diperjuang sekian lama selain ada yang beranggapan usia keahlian Puteri UMNO seharusnya lebih direndahkan lagi.
Sementara itu, Exco Puteri UMNO, Nor Akmal Muhammad yang merupakan penyokong ucapa dasar pula mahu peranan Majlis Ulama UMNO (MUU) diiktiraf semua pihak.
Ujar Ketua Puteri UMNO Bahagian Pulai itu, MUU memainkan peranan yang amat besar dalam memastikan perjuangan agama, bangsa dan negara dapat terus diperjuangkan UMNO.
Malah, katanya, MUU juga menjadi platform dalam memberi teguran, nasihat serta pandangan kepada kerajaan dalam memartabatkan Islam sebagai agama rasmi negara sebagaimana perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette