Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

KUALA LUMPUR – Tawaran hibah dengan pulangan antara 30 hingga 50 peratus kepada pelabur, antara taktik licik sebuah syarikat yang menawarkan Skim Pelaburan Ala Hutang hingga menjerat 97 individu melibatkan kerugian lebih RM46.88 juta, kira-kira enam tahun lalu.

Setiausaha Agung, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim yang mendedahkan perkara itu berkata, pulangan dalam tempoh setahun itu bagaimanapun hanya tawaran kosong semata-mata bertujuan untuk mengaburi mata orang ramai.

“MHO telah menerima 97 aduan daripada pengadu-pengadu berkenaan permasalahan yang dihadapi oleh mereka setelah menyertai satu skim pelaburan ala hutang yang ditawarkan oleh sebuah syarikat.

“Anggaran kerugian yang terpaksa ditanggung oleh para pengadu ini adalah sebanyak RM46,886,598.

“Mangsa-mangsa atau pengadu tidak pernah menerima langsung sebarang bayaran hibah atau pulangan seperti mana yang dijanjikan oleh syarikat itu sejak 2019,” katanya pada sidang media di luar pekarangan ibu pejabat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), di sini, hari ini.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim dan wakil-wakil mangsa bergambar ketika serahan aduan skim pelaburan ala hutang (Debt Investment) yang disyaki tidak berdaftar serta tidak mendapat kelulusan di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 22 OGOS 2024.

Terdahulu beliau bersama kira-kira 30 mangsa penipuan Skim Pelaburan Ala Hutang disyaki tidak berdaftar serta tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa itu menghantar aduan kepada SC, di Bukit Kiara, di sini.

Dedah Hishamuddin, dua lelaki Melayu yang menjadi dalang skim tersebut sebelum ini pernah didakwa di mahkamah, bagaimanapun kes dibuang selepas ketiadaan saksi yang mensabitkan kesalahan mereka.

“Dalang sindiket ini telah membuat tawaran penyelesaian dengan saksi-saksi pendakwaan.

“Sebahagian pendakwaan di bawah Seksyen 147 (1) telah digugurkan atau dilepas dan dibebaskan (DNAA) akibat daripada disyaki penyelesaian antara dalang dengan saksi-saksi pendakwaan.

“Tipu berjuta-juta ringgit, kemudian biar kes disiasat, biar ada pendakwaan, tunggu saksi kes, ada 10 hingga 20 orang, bayar saksi kes, kes gugur, mereka lepas,” katanya.

Hishamuddin berkata, modus operasi sindiket dengan mengarahkan mangsa untuk menandatangani satu perjanjian ala pinjaman di mana pengadu akan meminjamkan wang mereka kepada pihak syarikat.

“Syarikat tersebut memerlukan dana bagi perniagaan-perniagaan yang akan dilakukan oleh syarikat itu.

“Antaranya adalah trading dalam pelbagai shariah-compliant businesses termasuklah dalam industri pertanian, teknologi maklumat, pusat kecergasan atau gimnasium serta hartanah.

Katanya lagi, aduan melibatkan 97 individu itu dibuat supaya syarikat tersebut disiasat di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

“MHO menyeru pihak berkuasa agar lebih peka dan agresif dalam soal yang melibatkan kes-kes penipuan pelaburan.

“Ia bagi memastikan sesuatu perjanjian pelaburan atau pernigaaan tidak sewenang-wenangnya digunakan sebagai alasan untuk melepaskan diri daripada tindakan perundangan jenayah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette