Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhammad Akmal Salleh bercakap di Program Skop MG ketika tinjauan Malaysia Gazette di World Trade Centre Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 22 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan parti itu tidak pernah menutup jalan untuk bergerak solo terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum ke 16 (PRU16).

Katanya, UMNO bergerak secara solo adalah pilihan yang boleh diambil kerana setakat ini tiada kata putus daripada kepimpinan parti mengenai kerjasama bersama gabungan lain.

Malah jelas Akmal, ia terpulang kepada parti.

“Sudah tentu, dalam parti politik ini kita tidak boleh muktamadkan apa pun. Mungkin hari ini kita bersama orang itu, mungkin minggu depan kita akan berubah.

“Ini mengikut kepada parti, kehendak rakyat dan ahli. Sudah tentu jika ahli kata kita perlu pergi solo, kita pergi solo, tapi mesti ikut kehendak parti.

“Jadi hari ini kita tidak memutuskan lagi untuk bersama siapa menghadapi PRU-16, tidak dibincang di peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) mahupun BN.

“Jadi sudah tentu pilihan (pergi solo) itu terbuka dan mungkin juga kita boleh bersama mana-mana parti, selagi mana ia menguntungkan bangsa agama dan negara,” katanya kepada media pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU2024) di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), hari ini.

Sementara itu, Akmal berkata, sekiranya masih terdapat parti dalam gabungan kerajaan perpaduan yang ingin meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, UMNO terbuka untuk menghadapi mana-mana pun parti.

Jelasnya, Pemuda UMNO bersedia untuk menghadapi parti itu bagi mempertahankan kerusi tersebut.

“Saya nak maklumkan juga kalau ada masih kata mahukan kerusi itu, pemuda UMNO tak takut, kita berani kita bersedia bertanding di kerusi itu.

“Kalau dia (mana-mana parti dalam kerajaan) nak tanding kita tanding juga,” katanya.

PRK DUN Mahkota akan diadakan susulan penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, Allahyarhamah Sharifah Azizah Syed Zain, yang juga calon mewakili BN memenangi kerusi DUN Mahkota dengan majoriti 5,166 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September. – MalaysiaGazette