SERDANG – Sebanyak 14 buah Jabatan Mufti Negeri-Negeri menyertai Kejohanan Liqa’ iMahabbah yang berlangsung bermula hari ini hingga 26 Ogos depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, kejohanan kali ketiga itu merupakan satu wadah bagi menyatupadukan semua warga Jabatan Mufti setiap negeri.

Kata beliau, ia melibatkan seramai hampir 600 orang peserta, yang mana Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan diamanahkan selaku tuan rumah dalam kejohanan kali ini.

“Tentunya pertemuan kita malam ini mungkin agak berbeza sedikit berbanding kebiasaan. Selalunya kita semua bertemu dalam sesi muzakarah, sidang munaqasyah dan juga seminar. Tapi malam ini kita bertemu di gelanggang sukan. Alhamdulillah, pertemuan ini adalah satu rahmat daripada Allah SWT yang mencurahkan nikmat ukhuwwah kepada kita semua.

“Walaupun kita berbeza pejabat dan lokasi negeri-negeri, tetapi semangat dan jiwa kita bersatu padu atas asas iman dan Islam.

“Tidak dilupakan juga kepada pihak Universiti Putra Malaysia (UPM) yang turut menjayakan acara ini sebagai rakan strategik yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran sepanjang kejohanan berlangsung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Majlis Liqa’ Mahabbah Jabatan/Pejabat Mufti Se-Malaysia di UPM di sini malam ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Na’im percaya sepanjang kejohanan itu, semua pasukan akan bertanding dengan penuh semangat kesukanan.

Malah beliau yakin di kalangan warga Jabatan Mufti, ramai atlet di kalangan ustaz dan ustazah yang bagus dan berkualiti dalam pelbagai acara sukan.

“Selain itu, Liqa’ Mahabbah ini juga mengajak kita untuk sentiasa menjadikan aktiviti kecergasan dan sukan sebagai rutin kita.

“Saya juga bersama anggota pejabat menteri, kami bersama- sama bermain badminton sekurang-kurangnya sebulan sekali yang diprogramkan secara tetap,” katanya.

Mohd. Na’im juga menegaskan, amat mustahak kepada warga hal ehwal Islam untuk menjaga kesihatan diri termasuk kecergasan badan dan mengawal stres.

Ini kerana kata beliau, ramai dalam kalangan anggota perkhidmatan awam di luar sana yang hebat bekerja, berjaya melunaskan kerja yang dipertanggungjawabkan tetapi terlupa kepada hak dan tanggungjawab kepada kesihatan diri sendiri.

“Tidak melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala dan tidak melakukan riadah serta kurang menitikberatkan aspek kesihatan badan.

“Jadi program Liqa’ Mahabbah ini boleh memberikan semangat kepada kita untuk beristiqamah melakukan riadah demi menjaga kesihatan diri.

“Apabila tubuh sihat, kita dapat menunaikan ibadah dengan lebih baik serta bekerja di pejabat dengan penuh gembira dan ceria,” katanya. – MalaysiaGazette