Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Puteri UMNO bersempena dengan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di WTCKL. Foto SADIQ SANI, 22 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Usul supaya keahlian Puteri UMNO dilanjutkan sehingga ke usia 40 tahun akan dibawa ke peringkat mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd. Fauzi berkata, usul itu memerlukan pindaan beberapa peraturan Pergerakan Puteri UMNO melibatkan beberapa Fasal.

“Kita minta wakil MT sampaikan usul ini dalam mesyuarat Majlis Tertinggi nanti.

“Kita raikan kepelbagaian kita semua supaya menjadi kekuatan kepada kita. Jadi bila orang luar tengok, Puteri UMNO ini bervariasi dan inklusif.

“Dan kepelbagaian itulah yang menjadi kekuatan kita,” katanya dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Pergerakan Puteri UMNO 2024 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.

Sementara itu, kata Nurul Amal, dalam memastikan segala usaha pengukuhan Project Next GenZ (PNG) sebagai pelapis Puteri UMNO berjaya, sayap parti itu akan mempersiapkan mereka melalui gerak kerja dan inisiatif berdasarkan elemen rekrut, orientasi, latihan dan ekspresi (ROLE).

Tambah beliau, penekanan elemen itu bertujuan memberikan ruang latihan dan landasan kepada generasi muda untuk belajar dalam lapangan politik yang sebenar.

Dalam masa sama, katanya, ahli-ahli Puteri UMNO juga dapat belajar memahami lenggok dan trend generasi masa kini daripada generasi muda terbabit.

“Ayuh! Kita sahut saranan Timbalan Presiden untuk tarik, gerak dan mantapkan anak muda melalui program-program kita,” katanya.

Sementara itu, beliau turut berharap Program Usahanita Peruncitan Nasional yang digerakkan Puteri UMNO bersama 310 stesen minyak BH Petrol dapat membantu usahawan wanita muda menembusi pasaran peruncitan untuk mereka memasarkan produk dengan lebih meluas.

“Semoga lebih banyak syarikat datang bekerjasama dengan Puteri UMNO dan merancang program sebegini supaya kita sama-sama bantu rancakkan ekonomi wanita muda,” katanya.

Terdahulu, Nurul Amal turut mengumumkan penambahan sebanyak 378 cawangan baharu Puteri UMNO yang berjaya bersidang tahun ini, manakala jumlah keahlian Puteri UMNO turut bertambah sebanyak 18,216 ahli baharu di seluruh negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast