Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berbual sesuatu ketika Majlis Amanat Bersama Warga Penguatkuasa KPDN dan Pelancaran Portal IHSAN MADANI di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Foto SYADILA AMARI, 23 OGOS 2024.

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mencadangkan Bahagian Penguat Kuasa menjadi sebuah jabatan di bawah kementerian tersebut.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, setelah lebih lima dekad, komponen penguatkuasaan perdagangan dalam negeri dalam sistem kerajaan yang bermula seawal tahun 1972 perlu diperkasakan kedudukannya.

“Hari ini kita ada pelbagai komponen penguatkuasaan dalam kerajaan yang bertaraf jabatan dan agensi, kita juga ada badan pengurusan sukarelawan dalam kerajaan yang telah bertaraf jabatan, begitu juga organisasi yang mentadbir urus komunikasi komuniti yang juga menjadi jabatan.

“Besar harapan kami agar dapat dipertimbangkan, usaha menaik taraf Bahagian Penguat Kuasa sebagai salah satu jabatan di bawah KPDN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Warga Penguat Kuasa KPDN dan Pelancaran Portal Ihsan Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar.

Mengulas lanjut, Armizan sedia maklum permintaan tersebut mempunyai proses dan pertimbangan.

Malah beliau yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) boleh menyusul perkara terbabit sewajarnya.

Pada masa sama, Armizan juga mencadangkan sebahagian daripada hasil rampasan dan penalti melalui aktiviti penguatkuasaan dikembalikan semula kepada KPDN khususnya untuk pembangunan kapasiti Bahagian Penguat Kuasa.

“Kalau tidak pun dalam bentuk tabung, mungkin boleh dikira-kira dalam kaedah Buku 555. Saya yakin Kementerian Kewangan cukup memahami,” katanya.

Selain itu, Armizan turut mengesyorkan kerajaan supaya mempertimbangkan bantuan pembangunan kapasiti Suruhanjaya Persaingan (MyCC) dalam usaha memerangi kewujudan kartel dan monopoli yang bermasalah dengan lebih agresif.

Jelasnya, sejak penubuhan pada 1 April 2011 sehingga kini suruhanjaya terbabit hanya mempunyai seramai 17 pegawai penyiasat. – MalaysiaGazette