Pegawai polis berpangkat Inspektor direman bagi siasatan minta rasuah selesaikan kes judi laga ayam di Mahkamah Majistret Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor direman selama tiga hari bagi membantu siasatan kes meminta suapan berjumlah RM5,000.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 37 itu dikeluarkan oleh Majistret Mohd Azlan Basri di Mahkamah Majistret di sini, bermula hari ini sehingga 25 Ogos ini.

Permohonan reman itu dibuat bagi membolehkan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2019 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan, bagi setiap pertuduhan.

Suspek diwakili peguam, Savinder Singh.

Terdahulu, suspek yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara itu tiba di mahkamah pada jam 9.09 pagi dengan memakai baju lokap SPRM.

Sementara itu sumber berkata, bapa kepada dua anak itu ditahan di hadapan Pejabat Kuarantin Tumbuhan Jalan Bagan Luar, Butterworth, pada jam 3.50 petang semalam.

“Lelaki itu dipercayai menerima suapan berjumlah RM5,000  bagi menyelesaikan kes kesalahan judi laga ayam,” katanya. – MalaysiaGazette