KUALA LUMPUR – UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu meninggalkan pendekatan lama dan lapuk yang tidak lagi sesuai dengan perubahan semasa untuk kembali berkuasa.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, untuk menjadi dominan, parti itu perlu terlebih dahulu memenangi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) kelak.
“Nak jadi dominan perlu menang pilihan raya dan kena ada syarat-syaratnya.
“UMNO kena kembali kuat kena ada perubahan politik dimana dalil kita telah buktikan di PRK DUN Nenggiri,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke Laman Media di Perhimpunan Agung UMNO (PAU2024) hari ini.
Shamsul Anuar yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata demikian ketika mengulas ucapan Dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pagi tadi.
Ahmad Zahid berkata, parti tunjang Melayu itu perlu kembali menjadi parti dominan dan bebas memilih mana-mana parti untuk menjadi rakan kongsi politik yang dapat menerima agenda parti dalam pemerkasaan Islam dan Melayu.
Ahmad Zahid berkata walaupun UMNO menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan namun parti itu tidak pernah disekat untuk memasang cita-cita besar berkenaan.
Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, perkara penting yang perlu dikekal dan ditunjangi oleh UMNO adalah dengan tidak meninggalkan jati diri parti yang memperjuangkan kaum Melayu, agama dan bangsa.
“Yang penting, kita mahu menunjukkan kepada rakyat kita kekal dengan identiti UMNO sebagai sebuah parti yang mahu menjadi dominan dan parti kepada semua orang Melayu, bumiputera dan memperjuangkan Islam serta membela kepentingan kaum-kaum lain.
“Itu adalah kayu ukurnya,” kata Shamsul Anuar. – MalaysiaGazette