Bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan memberikan keterangan saksi berhubung saman terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi di sini Isnin depan.

Ini berkaitan saman yang difailkan oleh Dr Mahathir pada 20 Julai tahun lepas atas dakwaan Ahmad Zahid telah memfitnahnya kerana mempersoalkan asal usul bekas Ahli Parlimen Langkawi itu pada 2017.

Dalam satu kenyataan ringkas, peguam yang mewakili Dr Mahathir, Rafique Rashid mengesahkan anak guamnya selaku plaintif akan memberikan keterangan saksi utama pukul 10 pagi.

“Tun Dr Mahathir akan sampai ke lobi mahkamah Jalan Duta sekitar jam 9.40 pagi. Sebarang sidang media akan dimaklumkan kelak,” katanya hari ini.

Pada Julai tahun ini,  Dr Mahathir sepatutnya hadir memberikan keterangan namun  tidak dibenarkan keluar daripada Institut Jantung Negara (IJN) dan telah diberikan sijil sakit oleh pusat kardiologi itu.

Ketika itu, Dr Mahathir dimaklumkan tidak sihat selepas pulang dari London kerana mengalami masalah pernafasan sehingga terpaksa dimasukkan ke IJN pada hari seterusnya.

Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Techiong kemudian melapangkan tarikh perbicaraan pada hari ini dan menangguhkan perbicaraan kepada 26 dan 27 Ogos dan 29 serta 30 Oktober ini.

Ketika menetapkan tarikh, beliau juga memberikan peringatan supaya Dr Mahathir tidak ke luar negara menjelang masa prosiding memandangkan isu kesihatan ahli politik veteran itu.

Dalam pada itu juga, Techiong juga memutuskan andainya Dr Mahathir tidak sihat pada tarikh prosiding berikutnya maka saksi plaintif kedua, Datuk Seri Mukhriz boleh memberikan keterangan.

Ketika ini, Dr Mahathir sedang menyaman Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO kerana didakwa mengeluarkan kenyataan palsu, berbaur fitnah dan berniat jahat dengan sengaja merujuk terus kepadanya ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

Dr Mahathir berkata, beliau percaya dengan sesungguhnya individu dirujuk defendan dalam kenyataan fitnah sebagai ‘orang itu’, ‘dia’ dan ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ jelas merujuk kepadanya secara spesifik.

Jelas beliau, Ahmad Zahid berniat jahat dengan mengeluarkan kenyataan fitnah itu kerana tidak puas hati dan selain mahu beliau dibenci oleh masyarakat.

Susulan itu, beliau berkata, kedudukannya sebagai seorang negarawan dan tokoh politik yang berpengaruh di mata dunia dipandang serong.

Katanya lagi, fitnah Ahmad Zahid secara tersirat memberi maksud kredibilitinya untuk memimpin negara dan parti yang mengutamakan orang Melayu secara keseluruhan dipersoal dan diragui. 

Katanya, ia juga difahamkan beliau ialah pembohong, tidak boleh dipercayai, mementingkan diri, tidak beretika semasa memegang jawatan awam serta tidak layak untuk menjadi pemimpin atau tokoh masyarakat. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tun Mahathir masuk IJN, bicara saman fitnah isu ‘kutty’ ditangguh

Tun Mahathir tidak hadir prosiding bicara fitnah, IJN tidak benar keluar